Berseluar pendek di Kelantan, salah tapi selesa


Diyana Ibrahim

Kebanyakan anak muda di Kota Bharu berkata banyak lagi isu besar perlu diberi perhatian di Kelantan berbanding isu seluar pendek. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Oktober, 2017.

ADA banyak kekeliruan yang timbul apabila kerajaan negeri Kelantan mengenakan larangan pemakaian seluar pendek termasuk ketika bermain bola sepak.

Kebanyakan anak muda yang ditemui di Kota Bharu mengatakan mereka bukan saja tidak pernah dengar adanya undang- undang itu, malah mereka berpendapat ada banyak lagi isu besar yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri berbanding isu seluar pendek.

“Bagi saya banyak masalah terutama isu sosial yang ada di Kelantan daripada nak denda kita pakai seluar pendek,” kata Mohd Amirul Fazli, 23, yang ditemui The Malaysian Insight di Pusat Arena Futsal, Kota Bharu, Kelantan.

“Pernah tidak awak jalan sekitar Kota Bharu terutama sepanjang jalan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, tengok berapa ramai anak muda yang lepak, berlumba haram, kenapa tidak selesaikan masalah itu,” soal anak muda itu.

Awal tahun lalu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Ab Rashid Ab Wahab mendedahkan statistik kadar jenayah Kelantan menunjukkan 191 kes jenayah memiliki dan menagih dadah sepanjang Januari 2016 membabitkan remaja berusia 12 hingga 19 tahun.

Beliau berkata walaupun berlaku penurunan tetapi ia masih menunjukkan angka besar bagi tempoh sebulan yang menjadi penyebab meningkatnya jenayah pecah rumah.

Seorang lelaki pada 25 September lalu ditahan di Kota Bharu kerana berseluar pendek ketika dalam perjalanan hendak pergi bermain futsal.

Wan Khairul Hayye Wali diberikan notis untuk menghadiri sesi kaunseling dan sekiranya gagal berbuat demikian dia akan dihadapkan ke mahkamah syariah dan boleh didenda sehingga RM1,000 sekiranya didapati bersalah.

Lelaki berusia 30 tahun itu berkata dia sudah memakai seluar pendek untuk bermain futsal sejak sekolah dan tidak tahu wujudnya peraturan melarang pemakaian seluar pendek di Kelantan.

Jabatan Agama Islam Kelantan (Jaheik) mempertahankan tindakan itu dan mendedahkan undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985.

Ab Rashid Ab Wahab (kiri) bersama Mohd Faizol Zain dan rakan mereka bercakap mengenai isu seluar pendek di Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Oktober, 2017.

Seorang lagi anak muda, Mohd Faizol Zain, 25, bagaimanapun merasakan agak tidak masuk akal untuk mengenakan denda hanya kerana mereka memakai seluar pendek ketika bermain bola.

“Saya rasa macam tak masuk akal sebab itu saya pakai saja,” kata Faizol.

Ditanya adakah tidak takut sekiranya akan didenda oleh pihak penguat kuasa, Faizol mengaku rasa takut itu ada tetapi melihatkan kawan-kawannya turut mengenakan seluar pendek ketika bermain bola, dia buat tidak tahu saja.

“Saya tengok ramai yang masih pakai seluar pendek. Ada juga kita bincang-bincang boleh atau tidak, tapi akhirnya senyap macam itu saja, jadi kita semua pakai saja.”

The Malaysian Insight menemui Faizol di salah sebuah gelanggang futsal di Kota Bharu dan melihat kebanyakan masih lagi memakai seluar pendek di atas paras lutut.

Malah tinjauan di beberapa gelanggang futsal lain di Kota Bharu mendapati keadaan sama, ramai yang lebih senang memakai seluar pendek untuk bermain bola sepak.

Sementara itu, Abdul Rasid, 20, mengaku tahu satu kesalahan untuk lelaki memakai seluar pendek tidak melebihi paras lutut namun agak terkejut apabila undang-undang itu turut terpakai semasa aktiviti sukan.

“Saya tahu kalau dekat luar, memang macam salahlah pakai seluar pendek. Tapi kadangkala saya pakai juga.

“Cuma saya tidak tahu kalau kita pakai seluar pendek untuk main bola sepak pun akan kena. Sebab futsal ini saja aktiviti sihat yang boleh kita lakukan. Di Kelantan apa saja aktiviti yang kita boleh buat sangat.”

Dalam pada itu, Mohd Nazri Hussein, 37, berkata beliau tidak ada masalah dengan larangan tersebut namun tidak bersetuju jika diadakan secara tiba-tiba tanpa memberi penerangan.

Katanya, pendekatan larangan itu juga dilihat tidak jelas dan tidak menyeluruh.

“Kalau nak buat, dasar itu kenalah jelas. Kalau macam ini, saya tidak tahu ada undang-undang ini.”

Mohd Nazri Hussein berkata beliau tidak ada masalah dengan larangan seluar pendek tetapi untuk bermain bola,tetapi perlu ada penjelasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Oktober, 2017.

Seorang lagi pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad menyokong tindakan penguatkuasaan itu bagus untuk mendidik umat Islam menutup aurat.

Malah dia juga tidak bersetuju dengan tindakan pemuda yang diberi notis denda yang meluahkan rasa tidak puas hati di laman sosial sehingga menyebabkan isu itu tular.

“Bagi saya dia sebagai orang Islam takkan dia tak tahu tak boleh pakai seluar pendek kalau di tempat awam.

“Masa itu dia tengah beli burger, jadi tindakan itu terlalu membesarkan isu, padahal biasa saja, tidak ada apa pun,” katanya yang ketika itu juga memakai seluar pendek atas paras lutut untuk bermain futsal.

Ditanya kenapa dia tidak mengenakan seluar menutup aurat seperti yang dikatakannya pada awal tadi, dia menjawab “sebab nak main bola, jadi lagi selesa pakai seluar pendek.”

“Lagi pun tengok kawan-kawan saya masih ada pakai seluar pendek, jadi saya pakai juga,” katanya. – 8 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen