SERANGAN udara yang dilancarkan rejim Syria dan sekutunya Rusia mengorbankan 15 nyawa orang awam, kebanyakan mereka di kem penempatan sementara di wilayah Idlib, menurut kumpulan pemerhati.
Empat kanak-kanak merupakan antara 13 orang awam yang terbunuh dalam serangan udara oleh Rusia ke atas kem penempatan sementara di Hass, selatan Idlib, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.
Dua kanak-kanak turut terbunuh dalam serangan udara di bahagian lain di wilayah yang dikuasai bekas sekutu Al-Qaeda di Syria, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), menurut kumpulan pemerhati berkenaan.
Serangan udara itu dilancarkan ketika pasukan rejim cuba menyerang pejuang HTS dan sekutunya di wilayah berkenaan yang mana 13 anggota tentera rejim dan 18 pemberontak dan sekutunya terbunuh.
Sejak minggu lalu, pejuang pro-rejim telah mara ke selatan pinggir wilayah Idlib, dalam usaha untuk menawan semua bandar Khan Sheikhoun, yang terletak di lebuh raya utama yang diinginkan rejim.
Lebuh raya berkenaan menghubungkan Damsyik dengan utara bandar Aleppo yang ditawan semula oleh pasukan rejim daripada pemberontak pada Disember 2016.
Konflik di Syria menyebabkan 370,000 orang terbunuh dan jutaan lagi penduduk hilang tempat tinggal sejak keganasan bermula pada 2011. – 17 Ogos, 2019.
Komen