Kapal penyelamat migran umpama berdepan ancaman bom 


Kapal penyelamat Open Arms berlabuh hampir dengan daratan namun tidak dibenarkan mendarat oleh pihak kementerian Itali.– Gambar EPA, 17 Ogos, 2019.

KAPTEN kapal penyelamat Sepanyol yang membawa 134 migran berkata mereka seperti berdepan “ancaman bom” apabila kapal terbabit berlabuh berhampiran Pulau Lampedusa, Itali namun tidak dibenarkan mendarat. 

Itali telah mengeluarkan sejumlah migran dari kapal Open Arms untuk diberikan rawatan perubatan namun Menteri Dalam Negeri Matteo Salvini enggan membenarkan kapal itu berlabuh walaupun beberapa negara Kesatuan Eropah lain bersetuju untuk menerima mereka. 

Kapten kapal yang dikendalikan Proactiva itu, Marc Reig berkata, miran yang diselamatkan selepas meninggalkan Libya yang sedang bergolak, kini berdepan tekanan psikologi. 

“Setiap saat yang berlalu umpama bom jangka. Sama ada seseorang bertindak memotong wayar merah dan menghentikan “bom” ini, atau Open Arms akan meletup,” katanya kepada stesen televisyen Sepanyol, TVE. 

“Tindakan ini tidak berperikemanusiaan. Kami hampir dengan daratan dan boleh berenang ke sana. Mereka mahu campakkan diri mereka ke dalam laut. Mereka sudah tidak tahan lagi.”

Kebanyakan migran dari Afrika itu menaikai Open Arms selepas diselamatkan daripada bot di Laut Mediterranean bulan ini, dengan keadaan cuaca menggalakkan lebih ramai migran meninggalkan Libya. 

Dala satu wawancara dengan Times Malta, seorang migtan dari Etiopia, Mohammed, mengimbas kembali saat menakutkan yang ditempuh ketika cuba merentas lautan. 

“Terdapat 15 orang dalam satu bot dan hanya saya yang terselamat,” katanya yang berusia 38 tahun ketika menerima rawatan di hospital. 

Meninggalkan Etiopia 15 tahun lalu, Mohammed memulakan perjalanan dari Eritrea sebelum memasuki Sudan. 

Di Zawiya di barat Tripoli, Mohammed membayar penyeludup AS$700 untuk laluan ke Eropah dan ditawarkan tempat dalam sebuah bot kecil bersama dua lagi migran dari Ghana dan dua lagi dari Etiopia dan 10 warga Somalia. 

Pada mulanya mereka kehabisan minyak, kemudian kehabisan bekalan makanan dan kemudian bekalan air. 

“Kami nampak banyak bot. Kami minta pertolongan dnegan memberi isyarat kepada mereka, namun mereka tidak berhenti. Helikopter juga terbang hampir dengan kami dan kemudian beredar,” kata Mohammed. 

Katanya, beliau tidak ingat bila pihak tentera laut Malta tiba dan menyelamatkannya dengan helikopter dan dihantar ke sebuah hospital di Malta selepas dimaklumkan oleh pesawat milik agensi sempadan Europe Frontex. – AFP, 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen