BIBI Ramjani Ilyas Khan tidak tahu apa-apa langsung tentang bola sepak, apalagi tentang menguruskan sebuah pasukan bola sepak. Tetapi wanita cekal berumur 46 tahun ini sudah menunjukkan betapa minat dan kejujuran jauh lebih bermakna kalau dibandingkan dengan pengalaman.
Dia sangat memerlukan minat dan kejujuran itu kalau mahu menyelamatkan pasukan bola sepak Kelantan, sebuah pasukan yang pernah megah dijulang tetapi kini tercorot dan terbelit hutang.
Selepas mencipta sejarah sebagai wanita kedua di negara ini yang menerajui pasukan bola sepak negeri, usahawan batik berjaya ini sudah membuatkan banyak orang di Kelantan – sebuah negeri yang relatifnya miskin dan terikat dengan kepercayaan yang patriarki – mula membuka mata.
Bibi Ramjani terpilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 17 September lepas, wanita yang pertama bagi persatuan itu dalam sejarah 71 tahunnya.
Dia juga wanita kedua memegang jawatan seumpamanya selepas Tunku Aminah Maimunah Iskandariah mengambil alih teraju Johor Darul Takzim (JDT).
Perkara pertama sekali yang dilakukan oleh ibu tunggal ini, perkara yang tidak dapat dilakukan oleh sekian banyak lelaki yang ada sebelumnya, ialah melunaskan gaji pemain yang tertunggak – dengan duit poketnya sendiri.
“Ada pemain yang kereta sampai kena tarik sebab gaji tak ada nak bayar hutang pinjaman,” kata Bibi Ramjani, merujuk kepada 60 pemain di bawah KAFA yang tidak mendapat gaji bagi Julai dan Ogos.
“Gaji kita dah selesai, melainkan mereka yang buat aduan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).
“Mereka ini menyebabkan kita bermasalah untuk dapatkan lesen. Masalah (gaji) itu daripada pengurusan lama bukan sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ini virus lama. Boleh dikatakan kita dapat selesaikan 80% (masalah lama).”
Walaupun ini satu sepak mula yang baik, dapat menyelesaikan banyak masalah membelenggu pasukan yang suatu masa dulu bertakhta di puncak liga, Bibi Ramjani sangat menyedari laluan panjang beronak dan berliku.
Pertamanya, ada rasa kurang percaya apakah seorang wanita boleh mengangkat semula pasukan yang kini lesu, tidak lagi digeruni dan penuh masalah ini.
“Saya dah biasa alami yang lagi teruk, benda ini biasa. Saya berniaga dah alami lebih teruk. Dalam perniagaan dan kehidupan, saya pernah kehilangan orang tersayang, jadi kecekalan hati dah kuat. Niat saya nak membantu.
“Saya tahu ada yang bagi reaksi saya ini perempuan, boleh buat ke? Tapi saya cakap dengan mereka, boleh atau tidak cuba tengok mak awak, boleh jaga 10 orang tapi kalau ayah awak, mak meninggal hari ini esok dah kahwin lain.”
Beliau membayangkan kesungguhan apabila mengatakan akan buat apa saja untuk menyelamatkan The Red Warriors daripada di ambang jahanam.
“Saya suka buat sesuatu yang tak sama macam orang lain buat, macam bisnes. Saya tak suka buat sama dengan orang lain buat,” kata pemilik Desa Murni Batik Sdn Bhd, antara pengeluar batik utama di Kelantan.
“Saya sudah buat apa yang orang lelaki buat, macam perumahan, jarang ada wanita buat. Saya suka cabaran.”
Janji ditepati
Antara 2009 hingga 2014, The Red Warriors muncul jadi pasukan pilihan dalam liga bola sepak Malaysia. Peminat bola sepak membandingkan kebangkitan Kelantan itu seperti penguasaan Selangor pada 1990-an. Pada satu musim, hampir semua perlawanan yang disiarkan secara langsung di televisyen melibatkan pasukan Kelantan, tidak kisahlah di mana pun mereka bermain.
Tetapi nasib untung itu mula malap pada 2015 dan hari ini, The Red Warriors duduk di tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam Liga Super, liga utama bola sepak Malaysia. Pasukan yang mengungguli liga ini akan layak ke Kejohanan AFC.
Nasibnya kini bergantung pada perlawanannya dengan Melaka pada 28 Oktober ini, sama ada kekal dalam liga yang sama atau ditendang ke luar untuk musim akan datang.

Dakwaan salah pengurusan membawa kepada masalah penajaan dan KAFA kemudiannya gagal membayar gaji pemain bagi Julai dan Ogos.
Ketika “zaman kacau’ itulah Bibi Ramjani memutuskan masuk bertanding dalam pemilihan jawatan yang diadakan pada Kongres KAFA bulan lalu. Ketika itu, beliau bukan orang asing kerana syarikatnya antara penaja pasukan.
Dia dapat 32 undi mengalahkan bekas Naib Presiden KAFA Muhammad Nasir Hamzah yang mendapat 19 undi.
Tidak sampai dua minggu kemudian, dia melangsaikan hampir semua gaji tidak berbayar untuk kira-kira 60 pemain, yang keseluruhannya dilaporkan berjumlah hampir RM1 juta.
Dia membayar gaji untuk semua tiga pasukan Liga Super, Liga Perdana dan untuk pemain liga bawah 19 tahun, dibantu oleh penaja.
Dia tidak kisah pun menggunakan duitnya sendiri.
“Kalau kita janji sesuatu kita mesti tunaikan. Saya ikhlas niat nak membantu.”
Kejujuran itulah yang menolaknya ke depan untuk bertanding jawatan presiden.
“Salah seorang exco tanya ‘tak nak bertanding exco ke, dari situ baik kita ambil alih pengurusan’. Kalau setakat nak taja tak ada penyelesaian juga.
“Niat saya nak membantu supaya KAFA pengurusannya lebih berintegriti,” katanya.
Talian hayat
Peluang menyelamatkan KAFA ini berdatangan dengan saat-saat paling sukar dalam hidupnya, dan peluang itu jadi semacam talian hayat penyambung nyawa.
Bibi Ramjani kehilangan ibunya empat tahun lalu, ketika dia sedang mengharung perceraian dalam rumah tangga.
Ibunyalah yang mengajarnya makna kerja keras dan bersungguh-sungguh. Ayahnya meninggal dunia ketika dia baru berumur lima tahun dan ibunya membesarkan dia serta empat adik-beradik yang lain dengan duit hasil menjual roti canai.
“Sejak umur tujuh tahun lagi saya tolong emak buat roti canai di rumah. Saya hantar ke kedai sebelum pergi sekolah.”
Ibunya jugalah yang mengasuhnya ketika dia mula menjual batik di Kota Bharu.
“Mungkin kejutan yang tak pernah sangka, kita terkejut. Kita rasa menangis saja selepas itu.
“Saya cakap pada diri saya, macam mana nak bagi agresif semula. Dulu kita kerja siang dan malam tetapi selepas itu banyak duduk di rumah.”
Untuk itu, mula-mula dia masuk belajar universiti melalui pengajian jarak jauh dalam bidang pentadbiran perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Dia sepatutnya menerima ijazah pada akhir Februari nanti dan merasakan perlu mencari sesuatu untuk memenuhi masa lapang dan menghilangkan rasa bosan.
“Itu sebabnya saya setuju bertanding jawatan presiden sebab nak aktif, supaya rasa ada komitmen. Tidaklah rasa ‘down’ sangat.”
Sekarang, Bibi Ramjani tidak cukup tidur sebab cuba mengimbangi antara perniagaan dan pengurusan pasukan bola sepak.
Namun dua kerja berat itu terletak elok saja di atas dua bahunya.
“Sejak pegang jawatan ini rasa okay. Walau saya sibuk macam mana pun, saya rasa semangat kembali pulih, boleh pakai lipstik, berhias.” – 8 Oktober, 2017.
Komen