MENYERAHKAN kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menentukan pelaksanaan pengajaran tulisan khat Jawi kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular akan menimbulkan lebih banyak masalah, kata persatuan.
Lebih merumitkan kalau ibu dan bapa murid berbeza pendapat, tambah mereka.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkata tindakan menyerahkan bulat-bulat isu hangat itu kepada PIBG umpama menyaksikan pengajaran khat tidak akan dilaksanakan.
Malah keputusan itu juga mungkin menyalahi Akta Pendidikan yang tidak membenarkan ibu bapa dan PIBG membuat keputusan bagi sukatan pelajaran di sekolah.
Penasihat Persatuan Jaringan Ibubapa Pencinta Pendidikan Bahasa Zhong Hua (Jia Zong), Edward Neoh berkata Akta Pendidikan 1996 tidak membenarkan ibu bapa dan PIBG berbuat demikian.
“Dasar pendidikan sepatutnya ditentukan oleh Kementerian Pendidikan. PIBG tidak boleh buat keputusan kerana ia melanggar Akta Pendidikan,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Menurut Neoh, ibu bapa di Jia Zong kecewa dengan keputusan kementerian iaitu pengajaran tulisan khat Jawi bagi murid Tahun 4 di sekolah vernakular akan dilaksanakan dengan izin PIBG.
Beliau menjangkakan isu ini akan mewujudkan konflik antara ibu bapa dan PIBG.

“Macam mana kalau ibu bapa Melayu di sekolah Cina mahu ia dilaksanakan, tetapi PIBG tidak benarkan?
“Siapa nak selesaikan masalah ini?” soalnya.
Neoh berkata keputusan Kementerian Pendidikan sebelum itu lebih baik iaitu membiarkan guru menentukan kaedah pengajaran khat.
“Keputusan sebelum ini lebih baik kerana guru diberi kebebasan bagaimana nak mengajar.”
Beliau juga menyambut baik keputusan Kabinet mengurangkan halaman tajuk khat dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 daripada enam kepada tiga muka surat.
Pengerusi Jia Zong Ronnie Wong juga berkata menyerahkan ibu bapa dan PIBG menentukan pelaksanaan khat di sekolah vernakular akan mencetus lebih banyak masalah lebih-lebih lagi murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sudah tidak lagi hanya terdiri daripada satu kaum sahaja.
“Sekarang sudah ada banyak kaum di SJKC. Ada murid Melayu kerana ibu bapa mereka mahu anak belajar Mandarin. Mereka mungkin mahu anak mereka belajar khat, tetapi buat masa ini, ibu bapa Cina tidak mahu anak mereka belajar tulisan Jawi.
“Ini akan memberi masalah kepada pentadbiran sekolah,” katanya, senada dengan Neoh. – 17 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan