PUTRAJAYA sedang mengkaji semula levi pelepasan ke atas penumpang penerbangan udara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Tidak adil jika penumpang bagi penerbangan tambang murah dikenakan caj sama yang dikenakan ke atas penumpang penerbangan perkhidmatan penuh.
“Kita sedang kaji struktur cukai kita supaya adil kepada semua orang,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat AirAsia di Sepang hari ini.
Levi pelepasan itu akan berkuat kuasa 1 September bagi semua penumpang udara ke luar negara kecuali penumpang transit.
Bagi penerbangan ke negara Asean bayaran RM8 akan dikenakan bagi penumpang kelas ekonomi, manakala RM50 bagi kelas perniagaan dan kelas pertama.
Penerbangan ke negara bukan Asean pula bayaran RM20 akan dikenakan bagi penumpang kelas ekonomi, dan RM150 bagi kelas perniagaan dan pertama.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan levi pelepasan udara akan menggantikan cukai pelancongan supaya pelancong tidak dikenakan cukai sebanyak dua kali. – 16 Ogos, 2019.
Komen