MAHKAMAH Bandar Bishkek pada Jumaat memutuskan untuk mengekalkan bekas presiden Kyrgyz Almazbek Atambayev dalam tahanan pra-perbicaraan sehingga 26 Ogos selepas menolak rayuan pembelaan, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan peguamnya, Sergey Slesarev.
Sebuah mahkamah daerah pada 8 Ogos meletakkan bekas presiden itu di pusat tahanan Jawatankuasa bagi Keselamatan Negara apabila Atambayev menyerah diri kepada penguat kuasa undang-undang selepas kediamannya diserbu.
Slesarev mengemukakan rayuan berhubung perkara itu kepada Mahkamah Bandar pada Selasa dan kes tersebut didengar pada Jumaat.
“Sekatan pra-perbicaraan yang dikenakan ke atas presiden dikekalkan. Beliau akan ditahan sehingga 26 Ogos. Kami melihat perkara ini sebagai satu lagi keputusan yang tidak sah,” kata Slesarev.
Atambayev, yang memerintah negara itu mulai Disember 2011 hingga November 2017, disyaki terlibat dalam 12 kes jenayah termasuk pembunuhan, rasuah, pemalsuan, penyalahgunaan kuasa dan mencetuskan pergolakan secara besar-besaran.
Beliau menafikan kesemua dakwaan dan menyifatkannya sebagai bermotifkan politik. – Bernama, 16 Ogos, 2019.
Komen