Status PR Zakir Naik boleh ditarik balik, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Biar polis siasat dahulu sekiranya benar penceramah itu mencetus perbalahan kaum, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Ogos, 2019.

Taraf penduduk tetap (PR) Zakir Naik boleh ditarik balik sekiranya penceramah itu mencetus perbalahan kaum di Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Namun buat masa ini kerajaan menyerahkan kes itu untuk siasatan polis, katanya.

“Buat masa ini polis sedang menyiasat, sama ada beliau melakukannya (mencetus perbalahan kaum) atau tidak.

“Jika beliau melakukannya, maka kita perlu tarik balik status PR beliau,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat AirAsia di Sepang hari ini.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semalam berkata polis akan memanggil Zakir selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata polis telah membuka kertas siasatan terhadap pendakwah itu selepas menerima 115 laporan terhadapnya.

Menerusi ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini Zakir mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan masyarakat Cina di negara ini.

Ketika ditanya sama ada Zakir perlu memohon maaf atas kenyataannya, Dr Mahathir berpendapat permohonan maaf pendakwah itu tidak akan meredakan kemarahan rakyat.

Saya tak tahu tentang permohonan maaf. Saya tak rasa itu akan redakan kemarahan orang.

“Kita biarkan polis siasat kenyataannya itu serius atau tidak.” – 16 Ogos, 2019.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen