PRESIDEN Indonesia Joko Widodo hari ini berkata beliau akan meneruskan rancangan memindahkan ibu kota republik itu bagi merangsang ekonomi yang dilihat menjadi perlahan.
Dalam ucapannya, Jokowi memohon kepada Parlimen supaya bersetuju dengan rancangan memindahkan ibu kota ke Borneo, dan mengalih bandar raya politik Indonesia iaitu Jakarta yang sentiasa mengalami kesesakan lalu lintas.
“Saya dengan ini memohon persetujuan anda, untuk memindahkan ibu kota negara kita ke Kalimantan,” kata Jokowi di hadapan wakil rakyat di Parlimen, merujuk kepada sebahagian wilayah Indonesia di Borneo.
“Ibu kota bukan hanya simbol identiti negara, ia juga mewakili perkembangannya,” katanya.
Jokowi tidak mendedahkan lokasi khusus ibu kota baharu itu atau butiran tentang bila perpindahan itu boleh dilakukan.
Berucap sehari sebelum sambutan kemerdekaan Indonesia kali ke-74, pemimpin yang baru mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua itu berkata pentadbirannya akan memfokuskan kepada masalah birokrasi dan menarik lebih banyak pelaburan asing.
Beliau berjanji untuk merangsang produktiviti yang lembab, menjadikan Indonesia hab kenderaan elektrik dan fokus kepada memperkasakan kemahiran pekerja di negara yang populasi penduduknya 260 juta.
“Kita perlu jadi lebih cepat dan lebih baik berbanding jiran kita.
“Kita berdepan ekonomi dunia yang teruk dan perubahan geopolitik.”
Presiden itu dijangka membentangkan Bajet 2020 pada Jumaat depan. – AFP, 16 Ogos, 2019.
Komen