UTUSAN Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Libya Ghassan Salame pada Khamis mengutuk serangan ke atas pekerja dan fasiliti kesihatan di ibu kota Tripoli, yang menyaksikan konflik bersenjata maut antara kerajaan disokong PBB dan tentera yang berpangkalan di timur, lapor agensi berita China Xinhua.
“Sejak bermulanya serangan ke atas Tripoli pada awal April, lebih 37 serangan telah dilakukan terhadap pekerja dan fasiliti kesihatan, termasuk hospital, hospital medan serta orang awam dan ambulans tentera,” menurut kenyataan Misi Bantuan PBB di Libya (UNSMIL).
Salame mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam yang jelas seperti ini terhadap pekerja dan fasiliti kesihatan kerana tindakan menjadikan kedua-duanya sebagai sasaran dianggap sebagai satu jenayah perang.
Sejak awal April, kerajaan terjerumus dalam konflik bersenjata maut dengan pihak tentera itu, yang cuba mengambil alih ibu kota Tripoli dan menggulingkan kerajaan.
Pertempuran itu setakat ini meragut lebih 1,000 nyawa, mencederakan lebih 5,700 lagi dan menyebabkan lebih 120,000 orang melarikan diri dari rumah masing-masing, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Libya bergelut untuk mengadakan satu peralihan demokratik di tengah-tengah ketidakstabilan dan kekacauan yang berlaku selepas kejatuhan rejim bekas pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011. – Bernama, 16 Ogos, 2019.
Komen