KEMENTERIAN Hal Ehwal Luar Yaman pada Khamis berkata ia menggantung operasi di ibu kota wilayah Aden sehingga keadaan kembali tenang selepas puak pemisah menawan beberapa bahagian bandar itu pada hujung minggu, lapor agensi berita Turki Anadolu.
“Kementerian Luar dengan dukacita mengumumkan operasi pejabatnya di ibu kota sementara Aden digantung mulai 15 Ogos, kecuali perkhidmatan konsular,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian itu sebelum ini berkata Majlis Peralihan Selatan (STC), yang mahukan sebuah negara bebas di selatan, harus berundur dari kawasan yang ditawan sebelum kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa terlibat dalam perbincangan dengannya.
Ketegangan memuncak di Aden sejak anggota milita Security Belt yang bersekutu dengan STC memulakan pertempuran dengan Kerajaan Perpaduan Libya (GNA) yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada Sabtu, militia telah menawan istana presiden di daerah al-Maasheeq, Aden serta beberapa institusi strategik kerajaan.
Menurut pejabat PBB di Yaman, sekurang-kurangnya 40 orang awam maut manakala 260 lagi cedera dalam pertempuran yang berlaku sejak 8 Ogos. – Bernama, 16 Ogos, 2019.
Komen