SEORANG bekas datuk bandar Tehran dijatuhi hukuman mati kerana membunuh isterinya terselamat selepas keluarga wanita itu memaafkannya melalui kenyataan di Instagram pada Rabu.
Mohammad Ali Najafi, 67, dijatuhi hukuman mati bulan lalu setelah disabitkan kesalahan menembak mati isteri keduanya, Mitra Ostad di rumah mereka di ibu negara Iran pada 28 Mei.
Keluarga Ostad telah membuat rayuan terhadap undang-undang syariat Islam yang akan dikenakan – satu bentuk hukuman “mata untuk mata” yang akan menyaksikan hukuman mati dikenakan dalam kes ini.
Tetapi adiknya, Masood Ostad, berkata keluarga itu memutuskan untuk memberinya keampunan, menurut kenyataan pada akaun Instagram peribadinya yang dipetik oleh pelbagai saluran media.
Agensi berita negeri IRNA berkata seorang peguam keluarga, Mahmoud Hajiloui, mengesahkan pengampunan hukuman itu.
Dalam hantaran di Instagram, saudara lelakinya memetik ayat daripada Al-Quran yang mengatakan: “Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik”.
“Ayah, ibu saya dan Mahyar (anak kepada adik perempuannya) memaafkan Encik Mohammad Ali Najafi” selepas pengantaraan yang melibatkan orang lain, tulis beliau.
“Kami gembira kerana tidak melaksanakan hukuman demi kemuliaan adik saya bagi membalas pembunuhannya,” tulisnya.
“Kami harap Encik Mohammad Ali Najafi dalam saki baki umurnya menyucikan dirinya.”
Najafi masih ditahan selepas menerima hukuman penjara dua tahun kerana memiliki senjata api secara haram, tetapi ia tidak diketahui jika beliau masih perlu menjalani hukuman kerana melakukan pembunuhan.
Perbicaraan bekas datuk bandar itu menerima liputan meluas media negara walaupun skandal mengaitkan ahli politik jarang disiarkan di televisyen.
Seorang ahli matematik, profesor dan politik veteran, Najafi pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi dan pendidikan bagi Presiden Hassan Rouhani.
Beliau dipilih sebagai datuk bandar Teheran pada Ogos 2017, tetapi meletak jawatan pada April selepas menerima kritikan daripada golongan konservatif kerana menghadiri persembahan tarian pelajar sekolah.
Najafi berkahwin dengan Ostad tanpa menceraikan isteri pertamanya, suatu tindakan luar biasa di Iran kerana walaupun poligami dibenarkan ia tidak disenangi masyarakat.
Beberapa ultra-konservatif Iran mengatakan kes itu menunjukkan “kejatuhan moral” reformis, manakala reformis menuduh televisyen negara yang dikuasai golongan konservatif berat sebelah dalam liputannya dan menonjolkan kes bagi tujuan politik. – AFP, 16 Ogos, 2019.
Komen