BOM Perang Dunia Kedua ditemui di dalam tanah di Kremlin, Moscow ketika kerja pembinaan sedang dijalankan pada Khamis, lapor agensi berita Rusia.
“Sebagaimana yang semua tahu, antara 1941 dan 1942 Kremlin dibom,” kata komandan Kremlin, Sergei Khlebnikov kepada agensi berita Ria Novosti.
“Ketika kerja-kerja pembinaan dijalankan, sebutir bom pesawat ditemui.”
Menurutnya, bom berkenaan sudah dibawa keluar dari kompleks Kremlin dan akan dilupuskan.
“Semua langkah bagi memastikan keselamatan Kremlin telah diambil,” tambahnya.
Jurucakap Presiden Vladimir Putin turut memberi jaminan kepada media bahawa penemuan bom berkenaan tidak menjejaskan jadual pemimpin Rusia.
Kremlin merupakan salah satu kubu pertahanan zaman pertengahan di Eropah, yang pernah menjadi takhta pemimpin Rusia, pemimpin Soviet dan kini presiden Rusia.
Ia turut disenaraikan sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia Unesco.
Pencerobohan Nazi Jerman pada 1941 terhadap Kesatuan Soviet ketika itu menyebabkan pertempuran sengit serta pencerobohan ke atas bandar-bandar di Rusia.
Kremlin menjadi sasaran utama pengebom Nazi ketika perang Moscow apabila Hitler melancarkan serangan udara ke atas bandaraya berkenaan.
Bumbung salah satu istananya mengalami kerosakan teruk dalam serangan itu. – AFP, 16 Ogos, 2019.
Komen