ENAM negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menerima 147 pendatang yang terkandas di sebuah kapal penyelamat di pulau Lampedusa, Itali, umum pihak berkuasa Rom selepas timbul masalah berhubung imigresen antara menteri dalam negeri dan perdana menteri Itali.
“Perancis, Jerman, Romania, Portugal, Sepanyol dan Luxembourg memaklumkan kepada saya mereka sedia menerima pendatang ini,” kata Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte dalam satu surat terbuka kepada Menteri Dalam Negeri Matteo Salvini yang cuba menghalang kapal penyelamat Open Arms daripada memasuki perairan Itali.
“Sekali lagi, rakan saya dari Eropah menawarkan kami bantuan,” tulis Conte, sambil membidas Salvini kerana memberi “kerjasama yang tidak jujur”.
Beliau mengkritik apa yang disifatkan sebagai “tumpuan obsesif” terhadap dasar imigresen yang dikecilkan kepada frasa “pelabuhan ditutup”.
Salvini telah mengambil tindakan tegas terhadap pendatang yang diselamatkan di laut dan dibawa ke Itali, dan mengatakan pihaknya menanggung beban yang tidak adil kerana menjadi pelabuhan pertama oleh pelarian daripada beberapa negara.
Membalas pengumuman Conte, Salvini menulis di Facebook: “Ianya jelas tanpa jalan penyelesaian saya, Kesatuan Eropah tidak akan campur tangan dan membiarkan Itali dan rakyat Itali bertindak sendiri seperti apa yang berlaku sejak bertahun lalu.”
Beliau menambah: “Obsesi saya adalah untuk melawan semua jenis jenayah, termasuk imigresen, saya seorang menteri yang ingin mempertahankan sempadan, keselamatan, kehormatan, martabat negara saya.”
Nasib pendatang yang menaiki kapal Open Arms, yang dikendalikan oleh sebuah organisasi amal Sepanyol, Proactiva, tersepit di tengah krisis politik di Rom.
Pada awal bulan ini, Salvini menandatangani dekri untuk menghalang Open Arms daripada memasuki perairan Itali, dan mengatakan ia adalah bagi melindungi kepentingan awam.
Namun Proactiva membuat rayuan kepada mahkamah yang kemudian bertindak menggantung dekri berkenaan.
Salvini kemudian menandatangani satu lagi dekri baharu untuk menyekat kapal berkenaan, namun dalam bantahan untuk mengurangkan kuasanya, menteri pertahanan Itali bertindak menyekatnya pada Khamis.
Elisabetta Trenta, yang merupakan ahli parti M5S mempunyai kuasa untuk memansuhkan dekri Salvini, mengumumkan beliau membuat keputusan untuk tidak membenarkannya. – AFP, 16 Ogos, 2019.
Komen