Kuasa kerajaan negeri halang usaha perangi pencemaran air


Sheridan Mahavera

Pengurusan sungai berada di bawah kerajaan negeri dan terdapat 17 agensi yang menguruskan sumber air mentah menyebabkan sukar untuk mengatasi pencemaran.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Ogos, 2019.

PENCEMARAN sungai yang menyebabkan bencana seperti di kes Sungai Kim Kim di Johor dan masalah bekalan di Lembah Kelang sukar diperangi kerana pentadbiran berbeza setiap negeri, kata sumber dalam industri air.

Ini kerana, kerajaan negeri akan menolak penubuhan agensi kerajaan persekutuan untuk menguruskan sungai dan kawasan tadahan air tersebut, kata sumber ini.

Menurut perlembagaan, sumber tersebut terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang mengutip hasil daripada jualan air mentah daripada sungai dan empangan kepada syarikat utiliti.

Syarikat utiliti ini pula bertanggungjawab merawat dan menyalurkannya kepada pengguna.

Namun kerajaan negeri ini bimbang akan kehilangan sumber pendapatan jika kuasa ke atas sungai ini diserahkan kepada pihak berkuasa persekutuan, seperti dicadangkan badan kawal selia air kebangsaan, SPAN.

Sumber rasmi dari industri air ini juga berkata, pihak berkuasa persekutuan juga akan mengurangkan kuasa kerajaan tempatan untuk meluluskan projek, yang juga selama ini bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ini kerana, pihak berkuasa persekutuan akan membuat terhadap sebarang pembangunan, sama ada kilang, projek perumahan atau perladangan yang terletak berhampiran sungai.

Data SPAN menunjukkan hasil buangan daripada perlombongan, perladangan, pembalakan dan kilang merupakan sumber yang terbesar kepada pencemaran sungai.

SPAN membuat cadangan itu berikutan sistem sedia ada, yang mana kira-kira 17 agensi berbeza menguruskan sumber bekalan air mentah terbukti tidak mencukupi.

Tahun lalu, terdapat 574 kes loji rawatan air ditutup di Pahang, Johor, Selangor dan Kelantan yang berpunca daripada pencemaran sungai daripada perindustrian, kebun dan perladangan, perlombongan dan projek hartanah.

Dalam insiden di Pasir Gudang, kira-kira 6,000 orang dimasukkan ke hospital selepas terhidu gas beracun yang berpunca daripada bahan kimia yang dibuang di sungai berhampiran kawasan perindustrian.

Di Selangor, loji rawatan air utama yang membekalkan air kepada lebih sejuta isi rumah ditutup selepas minyak diesel ditemui dalam sungai berhampiran.

Pesuruhjaya SPAN Dr Faizal Parish Abdullah menganggarkan negara hanya mempunyai bekalan air yang cukup untuk tiga tahun bagi menghadapi sebarang bencana yang menjejaskan sumber air.

“Setiap tahun, kualiti sungai kita semakin merosot. Tiga ada tiga tahun untuk mewujudkan satu sistem bagi menghalang penurunan ini kerana sekiranya tidak, dalam tempoh 10 tahun kita perlu keluarkan RM50 bilion hingga RM100 bilion untuk membina loji rawatan air baharu bagi merawat air tercemar.”

Pengerusi SPAN, Charles Santiago menyedari halangan kerajaan negeri terhadap idea untuk pihak berkuasa persekutuan mengambil alih fungsi mereka.

“Untuk meneruskan agensi pengurusan sungai ini, anda perlu mengurangkan banyak ego,” kata Santiago.

Apabila ia ditubuhkan, agensi perlndungan air ini aka menguruskan semua sungai yang membekalkan 98% air mentah terawat kepada pengguna.

Pihak berkuasa berkenaan akan menyatukan semua aspek pengurusan sungai termasuk membuat pemantauan kualiti, menghalang pencemaran dan menentukan industri dan perniagaan apa yang boleh dibuat berhampiran sungai.

Buat masa ini, kesemua fungsi ini dijalankan oleh 17 agensi yang berasingan daripada kerajaan negeri dan persekutuan dengan taggungjawab berbeza.

Dalam usaha untuk memberikan kuasa sepenuhnya, Santiago berkata agensi berkenaan perlu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri agar ia boleh menyatukan semua agensi berlainan dan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan pencemaran.

“Salah satu cara untuk mengatasi birokrasi ini adalah dengan kerajaan mengumumkan air sebagai isu keselamatan negara.”

Tambahnya, kerajaan negeri boleh dipujuk untuk menerima agensi ini kerana pihak berkuasa masih boleh mengutip hasil daripada jualan air mentah dan menyalurkan semula kepada mereka.

“Jadi isu kehilangan pendapatan ini tidak relevan. Saya rasa negeri yang dikawal Pakatan Harapan akan menerima cadangan ini. Namun cabarannya adalah kepada negeri yang bukan di bawah Pakatan,” katanya merujuk kepada negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. – 16 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen