Tiada timbunan kes rayuan di mahkamah syariah Sabah


Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah berkata penjadualan kes rayuan masih boleh dibuat kerana bilangan Hakim-Hakim Rayuan yang mempunyai tauliah perlantikan adalah mencukupi korum dan tidak timbul masalah timbunan kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2019.

JABATAN Kehakiman Syariah Negeri Sabah menafikan laporan sebuah portal kononnya berlaku timbunan kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Sabah akibat ketiadaan ketua hakim syarie negeri.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut kerana ia dibuat tanpa merujuk kepada Jabatan ini.

Menurut kenyataan itu, sehingga kini, terdapat hanya enam kes rayuan yang sedia untuk dijadualkan di hadapan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri yang baru sahaja selesai di peringkat pengurusan kes.

“Terdapat hanya satu kes rayuan yang masih dalam prosiding di hadapan Hakim-Hakim Rayuan yang dijadualkan pada 22 Ogos 2019.

“Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali dakwaan (laporan portal berita pada hari ini) yang pada masa ini Mahkamah Rayuan Syariah Sabah sedang bergelut dengan timbunan kes atas ketiadaan ketua hakim Syarie Negeri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah Hakim-Hakim Rayuan Mahkamah Rayuan Syariah Sabah sudah dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah dan tempoh perlantikan mereka masih berkuatkuasa.

Menurut kenyataan itu penjadualan kes rayuan masih boleh dibuat kerana bilangan Hakim-Hakim Rayuan yang mempunyai tauliah perlantikan adalah mencukupi korum.

Perlantikan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai pengerusi sidang Mahkamah Rayuan Syariah Negeri menurut kehendak Seksyen 19(3) Enakmen Mahkamah Syariah Sabah 2004 adalah juga masih berkuatkuasa, kata kenyataan itu.

Portal berita themalaysianinsight.com hari ini melaporkan Mahkamah Syariah Sabah bergelut dengan timbunan kes rayuan dan permohonan yang tertangguh kerana ketiadaan ketua hakim Syariah yang sudah masuk bulan keempat. – Bernama, 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen