16 cedera akibat Taufan Krosa di Jepun


Sebanyak 720 penerbangan domestik dibatalkan hari ini selepas Taufran Krosa melanda Bandar Kure dalam Wilayah Hiroshima kira-kira jam 3 petang waktu tempatan hari ini. – Gambar EPA, 15 Ogos, 2019.

AGENSI cuaca Jepun berkata Taufan Krosa telah mendarat berhampiran Bandar Kure dalam Wilayah Hiroshima kira-kira jam 3 petang waktu tempatan hari ini.

Taufan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang cedera di seluruh lapan wilayah di Jepun dengan nasihat pemindahan dikeluarkan di Kochi, Shikoku dan Kyushu, lapor agensi berita China Xinhua.

Satu amaran peringkat 4 yang kedua tertinggi dalam skala dikeluarkan kepada lebih 240,000 isi rumah atau kira-kira 510,000 penduduk, menurut laporan terkini.

Amaran peringkat ini bermaksud semua penduduk dinasihati berpindah secepat mungkin ke kawasan lebih selamat susulan keadaan ribut yang bertambah teruk dan kemungkinan berlaku insiden yang boleh membawa maut.

Ia bergerak ke utara pada kelajuan 30 kilometer sejam berbanding kira-kira 50 kilometer berhampiran Iwakuni di Wilayah Yamaguchi setakat jam 1 tengah hari waktu tempatan, menurut agensi cuaca itu.

Krosa yang merupakan taufan ke-10 musim ini mungkin akan bergerak merentasi bahagian barat Jepun pada Khamis.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) sebelum ini memberi amaran bahawa Taufan Krosa mungkin mengakibatkan tanah runtuh terutama di wilayah-wilayah Nara, Oita, Ehime dan Tokushima.

Krosa telah menjejaskan sistem pengangkutan dengan teruk dengan 720 penerbangan domestik dibatalkan hari ini.

Lebih banyak penerbangan mungkin dibatalkan mulai sekarang, kata beberapa syarikat penerbangan, bergantung kepada trajektori taufan itu.

West Japan Railway Co mengumumkan semalam bahawa ia akan menggantung majoriti perkhidmatan kereta api peluru Shinkansen hari ini yang mungkin menjejaskan ramai orang yang ingin pulang ke rumah masing-masing selepas musim cuti Bon. – Bernama, 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen