SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) Tunisia pada Rabu mengumumkan senarai 26 calon yang akan bertanding dalam pilihan raya awal presiden yang dijadualkan berlangsung pada 15 September, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Menurut Nabil Baffoun yang mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya Tinggi, seramai 97 orang memohon untuk bertanding bagi mengisi jawatan nombor satu negara itu namun 71 daripada mereka ditolak selepas pemeriksaan awal.
Seorang pegawai suruhanjaya itu berkata kesemua permohonan yang ditolak boleh mengemukakan rayuan sehingga 31 Ogos, apabila senarai akhir diumumkan.
Baffoun berkata terdapat dua calon wanita dalam senarai itu: Abir Moussa, ketua Parti Perlembagaan Bebas; dan penyokong Presiden Zine El Abidine Ben Ali yang disingkir; serta Selma Elloumi, ketua Parti Amal.
Calon terkenal termasuk Perdana Menteri Youssef Chahed, Menteri Pertahanan Abdelkarim Zbidi, bekas presiden Moncef Marzouki, calon Pergerakan Ennahda Abdelfattah Mourou dan Ketua parti liberal Machrouu Tounes iaitu Mohsen Marzouk.
Setiap calon memerlukan tandatangan sekurang-kurangnya 10 ahli Parlimen, 40 ketua majlis tempatan, atau 10,000 pengundi yang layak.
Pilihan raya awal itu diadakan selepas Speaker Parlimen Mohamed Ennaceur menjadi presiden sementara selepas Beji Caid Essebsi meninggal dunia pada 25 Julai ketika berusia 92 tahun.
Tempoh berkempen dijadualkan bermula dari 2 hingga 13 September manakala keputusan awal pengundian akan diumumkan pada 17 September. – Bernama, 15 Ogos, 2019.
Komen