Akademi tentera Myanmar diserang pemberontak


Akademi Teknologi Perkhidmatan Pertahanan Myanmar diserang dengan lima tembakan artileri berat pada awal pagi Khamis, menyebabkan seorang awam terbunuh dan seorang tentera cedera. – Gambar EPA, 15 Ogos, 2019.

SEKUMPULAN pemberontak melancarkan serangan ke atas sebuah akademi tentera yang terletak berhampiran Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak tentera.

Akademi Teknologi Perkhidmatan Pertahanan (DSTA), terletak di Pyin Oo Lwin, sebuah pekan yang memiliki pemandangan bukit-bukau indah di Wilayah Mandalay, diserang dengan lima tembakan artileri berat pada awal pagi Khamis, kata jurucakap Brigadier Jeneral Zaw Min Tun.

“Seorang awam terbunuh manakala seorang tentera cedera dalam serangan itu di pekarangan akademi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sebuah pos pemeriksaan tentera di Pyin Oo Lwin dan sebuah pangkalan tentera di Naung Cho dalam Negeri Shan turut diserang oleh sekumpulan pemberontak bersenjata yang tidak dikenali pada Khamis pagi.

Beliau berkata serangan itu mungkin sebagai tindak balas terhadap satu serbuan tentera di beberapa kilang dadah di Negeri Shan. – Bernama, 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen