PENANGKAPAN Naib Presiden Parti Warisan Sabah Peter Anthony merupakan petunjuk jelas bagaimana Putrajaya menggunakan “pendakwaan berpilih” untuk menjatuhkan pesaing politiknya, kata presiden parti itu, Shafie Apdal.
Bercakap di hadapan 2,000 hadirin di sebuah ceramah di Tenom hari ini, iaitu dua hari selepas Peter ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan atas dakwaan penyelewengan RM1.5 juta bilion, Shafie menegaskan yang ianya bermotifkan politik.
“Keadaannya tak sama di sini. Sabah kaya, tetapi ke mana pergi semua pendapatannya?
“Kalau penangkapan Peter bukan bermotifkan politik, kenapa tidak ada tindakan terhadap skandal air dan pembalakan?” soalnya, merujuk kepada pentadbiran Ketua Menteri Musa Aman.
Bekas naib presiden Umno itu kemudian membuat perbandingan dengan siasatan terhadap Musa yang terlibat dalam siasatan penggubahan wang haram ketika bekas jutawan balak, Michael Chua ditangkap dengan RM40 juta semasa dalam perjalanan pulang dari Hong Kong ke Malaysia pada 2008.
Chua kononnya memberitahu pihak berkuasa yang RM40 juta itu adalah untuk Musa. Ketua menteri itu dibebaskan dari tuduhan rasuah pada 2012 kerana wang itu dikatakan “sumbangan politik” untuk Umno Sabah.
Shafie berkata tindakan terhadap Peter hanyalah untuk menakut-nakutkan ahli Warisan.
“Siasatan SPRM sekarang adalah untuk singkirkan saya, selepas mereka gagal mengaitkan saya dengan kes penggubahan wang haram Jabatan Air Sabah,” kata Shafie.
Shafie juga merujuk kepada perakuan penunjuk prestasi cemerlang yang ditandatangani Perdana Menteri Najib Razak ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah dari 2009 hingga 2015.
“Pemimpin boleh berubah dan wakil yang dipilih akan bersara, tetapi Warisan tak akan berhenti berjuang. KIta tak takut. Kita hanya takut Tuhan.
“Dan apa yang paling penting sekarang ini ialah rakyat Sabah.
“Kita tak mahu lagi Barisan Nasional dan Umno mengajar rakyat Sabah. Rakyat Sabah tahu apa yang mereka mahu.
“Jangan beritahu kami apa yang kami mahu. Sampai hari ini, janji untuk kembalikan hak-hak khas Sabah tak dikotakan,” Shafie memberitahu kepada hadirin yang bersorak.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden Warisan Darrel Leiking dan Naib Presiden Junz Wong. – 7 Oktober, 2017.
Komen