PM Jepun hantar persembahan ke keramat Yasukuni


Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe menghantar persembahan ritual ke Keramat Yasukuni yang dikaitkan dengan peperangan di Tokyo hari ini. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2019.

PERDANA Menteri Jepun Shinzo Abe menghantar persembahan ritual ke Keramat Yasukuni yang dikaitkan dengan peperangan di Tokyo hari ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Persembahan itu dibuat oleh perdana menteri tersebut semasa Jepun menyambut ulang tahun ke-74 kekalahannya dalam Perang Dunia II (WWII).

Pemimpin Jepun itu bagaimanapun tidak mungkin berkunjung ke keramat tersebut secara peribadi susulan usaha meningkatkan hubungan serantau.

Langkah sama juga mungkin dilakukan menteri-menteri Kabinetnya, kata sumber yang mempunyai pengetahuan berhubung perkara itu.

Keramat Shinto yang kontroversi itu, dilihat sebagai satu simbol ketenteraan masa lalu Jepun, yang sekian lama menjadi punca pergeseran diplomatik dengan jiran-jirannya kerana ia memberi penghormatan kepada penjenayah perang yang telah disabitkan serta mereka yang terkorban dalam peperangan.

Keramat Yasukuni memberi penghormatan kepada 14 penjenayah perang Kelas A yang disabitkan bersama-sama 2.5 juta rakyat Jepun yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua.

Kunjungan dan persembahan ritual yang dilakukan secara peribadi atau proksi di keramat itu oleh para pemimpin serta pegawai Jepun telah mencetuskan kritikan keras dan mengguris perasaan China dan Korea Selatan serta negara lain yang menerima layanan kejam Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Abe menghantar persembahan ritual ke Yasukuni semasa festival musim panas dan luruh setiap tahun sejak beliau menerajui pentadbiran semasa pada 2012.

Kali terakhir perdana menteri Jepun berkunjung ke keramat kontroversi itu secara peribadi ialah pada Disember 2013, yang dikutuk sekeras-kerasnya oleh China dan Korea Selatan, selain Amerika Syarikat yang melahirkan kekecewaan dengan keputusan Abe untuk berbuat demikian. – Bernama, 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen