Perang Dunia II, maharaja baharu Jepun ‘sangat menyesal’


Maharaja Jepun Naruhito dan isteri Masako bertafakur ketika acara tahunan mengingati mangsa perang sempena ulang tahun ke-74 Jepun menyerah diri dalam Perang Dunia II. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2019.

MAHARAJA Jepun yang baharu hari ini bercakap tentang “penyesalan yang teramat dalam” berhubung zaman perang negara itu, dalam ucapan pertamanya sempena ulang tahun berakhirnya Perang Dunia II, sejak naik takhta pada Mei.

Komen Maharaja Naruhito dipantau di Tokyo dan seluruh Asia bagi sebarang perubahan nada tetapi baginda menggunakan gaya bahasa hampir sama dengan digunakan bapanya Akihito.

“Melihat kembali kepada tahun-tahun tenang selepas perang, mencerminkan masa lalu kita dan membawa kepada perasaan insaf yang dalam, saya benar-benar berharap kesengsaraan peperangan tidak akan pernah berulang lagi,” kata Naruhito.

Akihito lahir pada 1933, ketika Jepun memulakan penjajahan tenteranya di seluruh Asia, dan baginda menangis ketika ayahandanya Hirohito mengumumkan Jepun menyerah diri. Akihito berusia 11 tahun ketika itu.

Berbeza dengan Naruhito yang lahir selepas perang dan pernah bercakap tentang pentingnya untuk mengenang Perang Dunia II dengan cara yang “betul”, tanpa perlu menghebohkan ketenteraan Jepun pada awal abad ke-20.

“Sepanjang 74 tahun selepas akhirnya perang, ketenangan dan kemakmuran negara kita hari ini dibina menerusi usaha tanpa kenal lelah daripada rakyatnya.

“Tetapi bila saya fikir tentang masa silam mereka yang penuh sengsara, saya sangat sedih,” kata Naruhito dalam upacara yang suram.

Perdana Menteri Shinzo Abe yang turut berucap pada acara itu, memberikan penghormatan mendalam dan penghargaan kepada mangsa perang Jepun.

Perdana menteri itu juga mengikut teks ucapan, ketika ketegangan dengan Korea Selatan berkenaan sejarah zaman perang Jepun turut menjejaskan hubungan dagangan antara dua sekutu Amerika Syarikat itu.

“Kami tidak akan pernah lagi mengulangi perang yang menghancurkan,” kata Abe, mengulangi frasa yang pernah digunakan dalam ucapannya sebelum ini.

“Janji ini tidak berubah dan tidak akan berubah dalam era baharu di bawah Maharaja Naruhito,” kata Abe. – AFP, 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen