MAHKAMAH di India semalam membebaskan enam tertuduh kes membunuh seorang lelaki Islam yang diserang ketika sedang memindahkan lembu, di mana haiwan itu dianggap suci di India.
Pehlu Khan, 55, seorang petani meninggal dunia selepas kira-kira 200 penyangak menyerang traknya yang membawa lembu di sebuah lebuh raya di barat bandar Rajasthan pada April 2017.
Sembilan individu didakwa membunuh Khan, dengan enam dibebaskan oleh mahkamah di Rajasthan semalam.
Tiga lagi yang didakwa berada di bawah umur dan dibicarakan di mahkamah juvana, lapor media India.
Pasukan peguam keluarga Khan berkata pihak pendakwa raya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.
Polis berkata penahanan dibuat selepas memeriksa rakaman video yang dibuat oleh saksi dan kemudiannya disiarkan oleh media.
Keputusan itu selepas dua bulan New Delhi menolak laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang berkata keganasan agama terhadap minoriti melonjak naik di bawah pentadbiran Hindu Perdana Menteri Narendra Modi.
Penyembelihan lembu adalah haram di kebanyakan negeri di India dan skuad penyelamat lembu akan meronda di lebuh raya memeriksa trak haiwan itu yang diangkut merentasi sempadan sejak Modi berkuasa pada 2014.
Rajasthan antara negeri yang mengharamkan penyembelihan lembu, dan pihak berkuasa juga meminta sesiapa yang membawa haiwan itu merentasi sempadan, mengambil lesen. – AFP, 15 Ogos, 2019.
Komen