RIBUT tropika yang kuat melanda Jepun hari ini, menyebabkan angin kuat dan hujan lebat yang mencetuskan amaran tanah runtuh dan banjir, serta nasihat mengosongkan rumah dan berpindah ke tempat perlindungan, ketika kebanyakan penduduk sibuk dengan rancangan percutian pada musim cuti.
Ribut Krosa – sedikit kecil berbanding taufan – bergerak perlahan-lahan di barat daya pantai Jepun, dengan kelajuan 160km sejam.
Pihak berkuasa mengeluarkan nasihat berpindah secara sukarela kepada sekitar 550,000 penduduk di laluan ribut itu dan Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran jepun berkata empat orang mengalami kecederaan kecil dengan seorang cedera parah.
Agensi itu berkata 18 orang termasuk kanak-kanak terkandas ketika berparti barbeku di sebuah lembah apabila air sungai tiba-tiba naik dengan cepat. Mereka kemudian dipindahkan ke kawasan tinggi dan akan diselamatkan hari ini.
Kosa juga mencetuskan kekecohan apabila orang ramai mulai pulang ke bandar-bandar utama selepas percutian Obon.
Lebih 600 penerbangan domestik dibatalkan keluar masuk bandar di barat Jepun dan perkhidmatan kereta api laju dihentikan atau dikurangkan.
Feri menghubungkan selatan pulau Shikoku dan beberapa bahagian di Jepun turut dibatalkan kerana ombak terlalu kuat.
Krosa dikesan lemah awal minggu ini kerana ia tersangkut di Lautan Pasifik tetapi kemudian melanda dengan kuat, dan dijangka membawa hujan lebat di kebanyakan kawasan.
Ia juga bergerak sangat perlahan – 20km sejam, jadi diramalkan hujan akan turun dalam tempoh yang lebih lama. – AFP, 15 Ogos, 2019.
Komen