6 anggota polis AS cedera dalam insiden tembakan Philadelphia


Anggota polis terlibat pada awalnya memberi maklum balas terhadap aktiviti pengedaran dadah apabila insiden tembakan itu bermula.– Gambar EPA, 15 Ogos, 2019.

ENAM anggota polis cedera dalam insiden tembakan di bandar Philadelphia pada Rabu ketika menjalankan serbuan terhadap aktiviti dadah, kata jurucakap jabatan berkenaan.

“Enam anggota PPD ditembak dan mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa, kini menerima rawatan di hospital. Anggota tambahan turut menerima rawatan kerana kecederaan lain,” kata Sarjan Eric Gripp dari Jabatan Polis Philadelphia melalui Twitter.

“Suspek masih melepaskan tembakan,” tulis Gripp kira-kira pukul 6.20 petang (waktu tempatan).

Agensi berita CBS News yang memetik Kapten Sekou Kinebrew sebagai berkata, anggota polis terlibat pada awalnya memberi maklum balas terhadap aktiviti pengedaran dadah apabila insiden tembakan itu bermula.

Ia merupakan insiden tembakan ketiga selepas dua insiden iaitu di Dayton dan di El Paso berlaku di AS awal bulan ini, menyebabkan 31 orang terbunuh.

Walaupun insiden tembakan semakin kerap berlaku di AS, usaha untuk memperketatkan peraturan penggunaan senjata api masih berbelah bahagi di negara itu, yang mana terdapat persatuan senjata api yang cuba menghalang undang-undang itu daripada diperketatkan. – AFP, 15 Ogos, 2019.

 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen