PEMBERONTAK menembak jatuh sebuah jet pejuang milik rejim yang sedang melancarkan serangan di barat laut Syria, menurut kumpulan pemerhati.
Koresponden AFP menyaksikan kepulan asap di selatan wilayah Idlib yang merupakan lokasi jet pejuang yang membawa bendera Syria itu ditembak jatuh.
Wilayah Idlib dikawal oleh kumpulan pemberontak yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, merupakan kubu kuat terakhir pembangkang rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Serangan udara yang dilancarkan rejim dan sekutunya, Rusia, di wilayah Idlib sejak lebih tiga bulan lalu, meragut ratusan nyawa dan menyebabkan lebih 400,000 orang hilang tempat tinggal.
Sejak beberapa minggu lalu, pejuang pro Assad berada pada kedudukan di pinggir selatan Idlib, iaitu beberapa kilometer daripada bandar yang dikuasai pemberontak.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, insiden menemabk jatuh jet pejuang itu merupakan yang pertama sejak April.
“Juruterbangnya ditangkap” dan kini berada daam tahanan kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang menguasai wilayah Idlib, kata ketua kumpulan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.
HTS dan koresponden AFP berkata, jet pejuang buatan Rusia itu ditembak jatuh berhampiran bandar Al-Tamanaa.
Anggota penyelamat terbunuh
“Pasukan rejim kini berada pada kedudukan empat kilometer dari Khan Sheikhun ke Barat, kata Rami Abdel Rahman pada Rabu.
Di kawasan timur, pejuang pro-Assad kini berusaha untuk menguasai kawasan bukit yang terletak 6 kilometer dai bandar berkenaan, katanya.
Pada hari yang sama, serangan udara Rusia turut menyebabkan empat orang awam terbunuh berhampiran pekan Maaret Hurma di selatan wilayah Idlib, menurut pemerhati yang mendapat maklumat daripada sumber dalaman Syria.
Mereka termasuk anggota paramedik, pemandu ambulans dan anggota pasukan penyelamat, katanya.
Sementara itu, pertempuran pada Rabu menyebabkan 16 anggota pasukan rejim terbunuh, manakala 24 pemberontak dan tujuh orang anggota sekutunya turut terkorban, kata kumpulan pemerhati itu.
Koresponden AFP turut melaporkan melihat puluhan keluarga melarikan diri daripada lokasi serangan sejak beberapa hari lalu, menaiki lori yang penuh barangan milik mereka menuju ke utara.
Di lebuh raya berhampiran sempadan Turki, sebuah keluarga ditemui menaiki sebuah trak pikap menuju ke utara.
“Kami tinggalkan ternakan, kami tinggalkan kediaman dan lari,” kata Abu Ahmad, 55 yang memandu trak berkenaan berhampiran pekan Sarmada.
Turut bersamanya, isteri Umm Ahmad yang berkata mereka terpaksa meninggalkan tanaman anggur yang diusahakan berdekatan pekat Maaret al-Noman.
Konflik di Syria meragut lebih 370,000 nyawa dan menyebabkan jutaan lagi hilang tempat tinggal sejak keganasan mula tercetus dalam protes anti-rejim pada 2011.
Rejim Syria yang mendapat sokongan tentera Rusia sejak 2015, telah menguasai sebahagian bear negara berkenaan daripada kumpulan pemberontak. – AFP, 15 Ogos, 2019.
Komen