Bersatu tiada di Sabah, Sarawak kerana sentimen daerah


Asila Jalil

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad mengatakan Bersatu masih belum bertapak di Sabah dan Sarawak kerana tidak mahu wujud masalah dengan parti yang berpangkalan di sana, tetapi usaha sedang dilakukan untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2017.

BERSATU masih belum bertapak di Sabah dan Sarawak disebabkan sentimen kedaerahan kuat Malaysia Timur, kata Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad kepada ahli parti itu pada satu seminar hari ini.

Beliau mengatakan sukar untuk membentuk cawangan Bersatu di kedua-dua negeri itu kerana penduduk Malaysia Timur sangat kuat berpegang kepada pendirian “Sabah untuk orang Sabah, dan Sarawak untuk orang Sarawak”.

Tetapi Dr Mahathir juga mengatakan yang usaha menempatkan diri di kedua-dua negeri itu, terutama sekali di Sabah sedang dijalankan kerana Bersatu sedang berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan bekas Naib Presiden Umno Mohd Shafie Apdal yang kini mengetuai parti baru di sana, Parti Warisan Sabah.

Parti baru itu kini berjaya meraih minat ahli politik yang sedang meningkat naik dan orang muda Sabah yang mahu Putrajaya memberikan kuasa autonomi yang lebih besar kepada negeri bawah bayu itu. 

Shafie menolak menyertai Bersatu yang juga ditubuhkan tahun lepas walaupun ditawarkan jawatan timbalan presiden. Sebaliknya, beliau menubuhkan Warisan bagi menghentikan amalan membuat keputusan bagi pihak Sabah yang selama ini dilakukan parti berpangkalan di Semenanjung, tindakan yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah sejak negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

Mengakui perkara ini, Dr Mahathir mengatakan, “Jika kita masuk, mungkin ada masalah antara kita dan parti sedia ada di kedua-dua negeri.

“Kita sedar tentang Parti Warisan Sabah dan kita cuba mewujudkan kerjasama dengan Shafie,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai jawapan kepada soalan ditimbulkan ahli parti mengenai ketiadaan Bersatu di kedua-dua negeri Borneo itu.

Warisan kini sedang menjadi perhatian negara apabila Naib Presiden, Peter Anthony direman berkaitan skandal penyelewengan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion untuk projek bekalan elektrik dan air di Sabah.

Shafie yang merupakan bekas menteri pembangunan wilayah dan luar bandar ketika dana itu didakwa diselewengkan mengatakan siasatan itu bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya.

Dr Mahathir berkata beliau diberi sambutan meriah oleh penduduk Sarawak pada lawatannya ke negeri itu baru-baru ini.

“Ramai yang bimbang saya dihalang masuk Sarawak. Tetapi saya disambut baik orang sana. Mereka mahu saya lawat Miri pula sekarang,” kata Dr Mahathir yang juga merupakan pengerusi gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Bulan lepas, Dr Mahathir dan Lim Kit Siang (DAP) berada di Kuching untuk ceramah pakatan pembangkang pertama di Sarawak.

Wujud kebimbangan yang beliau akan dihalang masuk selepas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian tidak dibenarkan memasuki negeri itu selepas mendarat di Miri.

“Bagaimanapun, saya belum lawat Sabah. Saya perlu putuskan apa yang terbaik untuk penduduk sana,” kata Dr Mahathir.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula mengatakan parti itu akan bertapak di Malaysia Timur apabila masanya tiba, tetapi buat masa sekarang mereka perlu mengukuhkan parti itu di Semenanjung terlebih dahulu.

“Bila sampai masa, kita akan lebarkan sayap ke sana (Malaysia Timur).

“Kita ambil masa untuk bentuk parti di Semenanjung Malaysia disebabkan masalah kewangan antara lainnya.

“Buat masa sekarang, kita akan tumpu kepada mengukuhkan kedudukan kita di Semenanjung dan dengan kedudukan sekarang, kita boleh berjaya dan saya yakin kita boleh pergi ke Malaysia Timur,” katanya. – 7 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen