PENGANJUR konvensyen kumpulan Melayu 25 Ogos mahu menbincangkan isu liberalisme, Kristianisasi dan pindaan akta yang didakwa akan menjejaskan kedudukan kaum dan agama.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya berkata ia adalah perkara pokok yang lebih utama berbanding isu seperti pembelajaran khat Jawi.
“Yang berlaku pada hari ini seperti yang dibangkitkan oleh Dong Zong umpamanya hanyalah serpihan kepada isu fundamental.
“Insiden yang berlaku mutakhir ini hanya isu kecil sahaja tetapi yang besar contohnya pemikiran liberalisme, Kristianisasi dan cadangan untuk menukar 100 akta dan undang-undang.
“Ini yang menjadi ancaman ketika ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelasnya, mereka bimbang pindaan ke atas lebih 100 undang-undang yang diumumkan kerajaan pada Januari lalu akan menjejaskan kedudukan orang Melayu dan Islam.
Antara cadangan pindaan yang menimbulkan kontroversi adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Selain itu, konvensyen dengan mesej perpaduan itu juga diadakan bagi menggalakkan penyatuan dalam kalangan organisasi Islam di negara ini, kata Aminuddin.
“Tema perpaduan itu diambil kerana kita merasakan ancaman terhadap bangsa dan agama semakin mencabar dan orang Melayu masih terpecah belah,” katanya.

Menurut Aminuddin, ia akan membincangkan isu berkaitan Islam dan bangsa Melayu dan akan menghimpunkan tokoh dan cendekiawan serta pemimpin politik.
Katanya, keadaan orang Melayu yang berpecah ini diambil kesempatan orang pihak lain untuk mengutarakan dan memperjuangkan isu-isu mereka.
“Kita tidak ada kuasa untuk mempertahankan agama dan bangsa kerana kita berpecah. Kita bila bersatu, kita akan ada kekuatan,” ujarnya.
Seterusnya, ia akan menghimpun cadangan dan tuntutan daripada 400 pemimpin NGO dan kira-kira 50 orang pemimpin dan cendiakawan Melayu Islam yang dijangka hadir
Konvensyen ini merupakan pengajuran kali kedua selepas konvensyen yang sama dibuat pada Januari 2018 yang membincangkan isu perundangan, pendidikan, ekonomi, politik dan sosial.
Beliau memberi jaminan Konvensyen Perpaduan Ummah dengan tema Ummah Berpakat Islam Berdaulat itu tidak tidak akan mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
“Konvensyen ini tidak akan mengeruhkan hubungan kaum dan agama,” katanya. – 14 Ogos, 2019.
Komen