Bedah siasat Nora Anne belum selesai, kata polis


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Ahli keluarga Nora Anne Quoirin di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban semalam. Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata proses bedah siasat dijalankan sejak pukul 11.45 pagi tadi masih lagi berjalan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2019.

PROSES bedah siasat remaja Britain Nora Anne Quoirin masih belum selesai,kata polis.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata selepas 8 jam pakar patologi masih menjalankan bedah siasat ke atas mayat remaja itu.

“Bedah siasat telah dijalankan bermula pada pukul 11.45 pagi tadi, sehingga sekarang masih belum selesai.

“Oleh itu, sehingga kini kita masih belum menerima keputusan sebab-sebab kematian,” katanya kepada media di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban petang tadi.

Proses bedah siasat itu melibatkan beberapa pakar patologi dari Kuala Lumpur.

Zakaria tidak menyatakan bilakah hasil bedah siasat akan dikeluarkan.

Katanya pasukan bedah siasat terdiri daripada pakar patologi Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur dan Dr Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Jaafar yang dibantu oleh pegawai forensik Noor Aidura Saadon dan Sufian Arshad Mohammad dari Petaling Jaya. 

Timbalan ketua polis negeri itu juga berkata siasatan di lokasi mayat ditemui masih dijalankan.

“Setakat ini sahaja yang saya dapat maklumkan perkembangan sehingga waktu ini.

“Selepas terima arahan dari ketua polis negeri, saya akan beri kenyataan lain esok.”

Mayat Nora Anne, 15, yang mengalami masalah pembelajaran ditemui tengah hari semalam kira-kira 2km dari tempat penginapan keluarganya, The Dusun Resort di Nilai. Dia dan keluarganya tiba di resort itu pada 3 Ogos lalu untuk bercuti.

Remaja itu hilang keesokan harinya dan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran dilancarkan serta-merta. – 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen