MAJORITI besar pembantah pro demokrasi Hong Kong adalah lulusan universiti, hampir separuh berusia dalam lingkungan 20-an dan hampir semua mereka membenci polis, lapor satu kajian akademik.
Sepuluh minggu sudah berlalu sejak demonstrasi di pusat kewangan itu menyaksikan jutaan penduduknya membanjiri jalan raya, sehingga menyebabkan keganasan tercetus antara pembantah dan polis, dan yang pertempuran terbaru berlaku di lapangan terbangnya.
Bantahan yang bermula untuk menentang rang undang-undang ekstradisi ke tanah besar China kini berubah menuntut kebebasan demokrasi sepenuhnya di wilayah autonomi itu.
Pengkaji daripada empat universiti utama Hong Kong melakukan kajian terhadap peserta 12 bantahan- termasuklah bantahan besar dan statik- antara 9 Jun hingga 4 Ogos lalu mendapati 54% peserta adalah lelaki manakala 46% lagi wanita.
Secara umumnya, 77% daripada 6,688 responden berkata mereka berkelulusan pendidikan tinggi, dan 21% pula berkelulusan sekolah menengah.
49% pembantah berusia 20-29 tahun, berbanding 11% bawah 20 tahun dan 19% berusia antara 30 hingga 39 tahun. 16% lagi berusia 40 tahun dan ke atas.
Separuh atau 50% menganggap diri mereka kelas menengah, manakala 41% berkata mereka “akar umbi”.
Ditanya sebab mereka membuat bantahan, 87% berkata mereka mahukan rang undang-undang itu dibatalkan, 95% meluahkan tidak puas hati dengan polis menangani protes dan 92% mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan bebas.
Kajian dikenali sebagai ‘Onsite Survey Findings in Hong Kong’s Anti-Extradition Bill Protests’ diterbitkan pada 12 Ogos lalu dan dilakukan pengkaji dari Chinese University of Hong Kong, Lingnan University, Hang Seng University of Hong Kong dan Hong Kong Baptist University. – AFP, 14 Ogos, 2019.
Komen