Pelajar saman Disneyland Shanghai kerana larang bawa makanan


Taman tema Disneyland di AS dan Paris membenarkan pengunjung membawa masuk makanan dari luar, manakala pengunjung tamannya di Tokyo, Hong Kong dan Shanghai dilarang berbuat demikian. – Gambar AFP, 14 Ogos, 2019.

SEORANG pelajar di China menyaman taman tema Disneyland di Shanghai atas dakwaan tidak adil kerana menghalang pengunjung membawa makanan sendiri.

Saman difailkan kerana peraturan ketat itu tidak dikenakan di taman tema Disneyland di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Tindakan undang-undang itu menerima banyak sokongan di media sosial, ditambah dengan hubungan tegang antara China dan AS ekoran perang perdagangan.

Pelajar perempuan yang hanya dikenali dengan nama Wang itu berkata Disneyland menafikan hanya apabila tidak dibenarkan membawa makanan sendiri dan menyebabkannya terpaksa membeli makanan yang “mahal” di dalam taman tema itu.

Kes itu menghangatkan media sosial China Weibo yang dipenuhi tanda pagar bahasa Cina bermaksud “Disney disaman kerana larangan bawa makanan sendiri”. Ia telah menarik perhatian lebih 600 juta pengguna dan menerima ribuan komen.

“Ramai orang juga mungkin rasa hak mereka dinafikan, tetapi (mereka) tak saman. Sebagai pelajar undang-undang, ini tugas kami,” kata Wang kepada media atas talian The Paper.

Sementara itu, Disney memberitahu stesen CCTV peraturan itu “selari dengan kebanyakan taman tema China lain dan taman tema Disney di negara-negara Asia”.

Disneyland di AS dan Paris membenarkan pengunjung membawa masuk makanan dari luar, manakala pengunjung di Tokyo, Hong Kong dan Shanghai dilarang berbuat demikian. – AFP, 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen