SEKUMPULAN kawan dari Seremban adalah kumpulan pertama yang menjumpai mayat Nora Anne Quoirin di sebuah air terjun di Hutan Lipur Jeram Toi semalam.
Ketua kumpulan itu, Kenny Chan Kai San, seorang pendaki berpengalaman memberitahu The Malaysian Insight yang mereka ternampak mayat tersebut tetapi tidak berani mendekati untuk memeriksa.
“Daripada jauh pun, kami agak pasti itu dia (Quoirin). Kami tak mahu mencemarkan kawasan itu bimbang mengganggu siasatan polis. Jadi, kami hanya panggil mereka (polis),” kata Chan.
“Kami seramai 24 orang dan berpecah kepada dua kumpulan. Kami memulakan pencarian pada jam 8 pagi dan sebaik kami turun ke air terjun itu kami nampak mayat seorang wanita kulit putih lebih kurang 20 meter di depan, pada tengahari (semalam).”
Chan memberitahu beliau sebelum ini sudah beberapa kali menjelajah hutan itu dan apabila mendengar kehilangan gadis itu, beliau mahu membantu.
“Saya dari Seremban, saya tinggal dan bekerja di sana. Saya sudah jelajah hutan berhampiran resort itu beberapa kali sebelum ini bersama keluarga dan kawan-kawan, tetapi ini kali pertama saya terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.
“Sedih betul ia berakhir begini,” katanya.
Chan berkata kumpulannya memutuskan mencari di kawasan air terjun itu selepas tidak dapat berbuat demikian beberapa hari sebelum itu kerana hujan lebat.

“Agak berbahaya ikut air terjun itu selepas hujan. Licin dan berbahaya.
“Kami tak perlu pergi ke tempat itu sebenarnya kerana pasukan mencari lain sudah pergi sebelum ini.
“Tetapi, kami pergi juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chan dan kumpulannnya menyertai misi itu pada pagi Sabtu selepas mendapat kebenaran polis untuk membantu misi menyelamat.
Beliau bertegas bahawa dirinya dan kumpulannya tidak mengharapkan ganjaran ditawarkan keluarga Quoirin.
“Kami hanya membantu. Kami bukan hendakkan ganjaran. Daripada hari pertama kami sertai misi mencari dan menyelamat, kami sudah buat keputusan yang kami hanya hendak tolong.”
Mayat Quoirin disahkan ibu bapanya malam tadi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Gadis berusia 15 tahun itu dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas beliau dan keluarganya mendaftar masuk ke Dusun Pantai Hill, berhampiran Seremban, Negeri Sembilan.
Polis sebelum ini berkata Quoirin meninggalkan vila diduduki keluarganya menerusi tingkap tidak berkunci dalam keadaan berbogel tanpa membawa sebarang barangan peribadi.
Lebih 300 anggota polis, bomba dan penduduk tempatan terlibat dalam misi mencari dan menyelamat itu yang juga menggerakkan anjing pengesan, dron dan pesawat pengesan haba.
Polis sedang menunggu keputusan bedah siasat punca kematian sebelum meneruskan siasatan.
Pagi tadi, peguam mewakili keluarga itu, Sankara Nair mengumumkan beliau akan menghubungi Peguam Negara Tommy Thomas untuk meminta inkues diadakan sekiranya bukti bedah siasat membenarkan ia dijalankan.
Keluarga Quoirin masih belum menentukan tindakan selanjutkan kerana masih trauma dan bersedih, katanya, menambah yang mereka menjangka pihak berkuasa akan mengumumkan perkembangan terkini kes itu hari ini. – 14 Ogos, 2019.
Komen