RAFIDAH Aziz menyampaikan ucapan sangat bermakna di Yayasan Kepimpinan Perdana baru-baru ini. Sekaligus mengekalkan reputasinya sebagai pemikir ekonomi. Malah, bukti keterampilan politiknya sentiasa bermanfaat.
Rafidah nama besar ketika berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 26 tahun. Bermula sebagai timbalan menteri pada 1982 dan dilantik menteri perdagangan antarabangsa mulai 1987 hingga 2008.
Sekarang, pada usia 76 tahun, bekas ketua Wanita Umno ini menyertai Bersatu. Pada Februari lalu, Rafidah dilantik sebagai Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
“Pembuat dasar tidak boleh tunduk kepada tekanan tidak sepatutnya untuk mengubah dasar bagi memuaskan hati sesetengah kumpulan yang mempunyai motif selain daripada pembangunan negara,” katanya pada Siri 21 Wacana Perdana.
Sekalipun kembali ke pentas politik bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH), Rafidah tetap harimau yang keras mengaum. Pandangan dan ideanya kekal agresif dan kritis terhadap kerajaan.
Ucapan Rafidah tertumpu pada impak persekitaran ekonomi global terhadap negara. Baginya, Malaysia perlu bersedia kerana kemakmuran ekonomi adalah harapan sebenar rakyat.
Upaya
Rafidah mempersoal keupayaan sebenar Malaysia bertindak balas terhadap persekitaran ekonomi dunia yang makin kritis dan organik.
“Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar pengalaman lepas termasuk krisis kewangan Asia 1997. Krisis inflasi dua angka pada 1970-an serta peralihan pantas perindustrian pada 1980-an. Juga krisis kewangan global 2008,” ucap Rafidah.
Rafidah berada dalam Kabinet ketika krisis kemelesetan industri 1987 dan krisis kewangan Asia Timur pada 1997. Pengalaman ini antara faktor yang mengubah cara berfikir ahli politik yang celik ekonomi ini.
“Tubuh pasukan petugas khas yang menggabungkan pakar termasuk ahli akademik misalnya, di mana anda mula memikirkan jauh ke depan, lebih awal,” katanya.
Rafidah menolak gaya pemikiran lama yang obses pada pelan perancangan ekonomi jangka panjang tanpa melihat kemampuan negara menyesuaikan diri dengan kekangan ekonomi global yang tidak menentu.
Bagi Rafidah, sikap taksub pada pelan ekonomi tidak lagi relevan. Pelan yang tidak refleksif pada kekangan semasa dan realiti global akan menjadikan ekonomi domestik terdedah pada bahaya.
Pelan hadapi ekonomi global
Sebagai contoh, Rafidah menyentuh mengenai ketidakupayaan ekonomi domestik menyesuaikan diri dengan krisis perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Malaysia masih terkapai-kapai walaupun perang tarif berlarutan hampir setahun. Krisis ini kerap dijadikan alasan mengenai ketidaktentuan ekonomi domestik.
Walaupun krisis tarif Washington dan Beijing ini sudah berlarutan lama, belum nampak ada langkah konkrit dilakukan di peringkat domestik. Sedangkan realitinya, perang tarif menyebabkan kejatuhan ringgit serta impak terhadap eksport negara.
Minggu lalu, krisis ini dilihat memasuki pusingan kedua. Ekonomi dunia dijangka akan terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran hingga berbulan-bulan lagi.
Apakah kita akan terus mendengar alasan – ekonomi negara terkesan kerana isu ini?
Atau kita membentangkan tindakan drastik menyesuaikan diri dalam menangani krisis ini?
Rakyat gelisah
Rafidah sedar rakyat mula bertanya, malah mempersoalkan sikap dan tindakan kerajaan. Itu logik dalam hujahnya mengenai keperluan wujud pasukan khas menangani isu ekonomi global.
“Itu yang saya ingin cadangkan. Kita tidak boleh sekadar ada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia atau Unit Perancang Ekonomi (EPU) bertindak secara bersendirian. Perlu ada strategi sepadu untuk masa depan dalam mendepani senario persekitaran tidak menentu dan tidak difahami,” katanya.
Rafidah sedar, wujud kelompongan dalam pengurusan ekonomi domestik sejak sekian lama. Malah, menyelar sikap pasif Malaysia dengan budaya tunggu dan lihat.
“Perang tarif berlarutan antara Amerika Syarikat dan China, dan Malaysia perlu melihat kesannya bukan sahaja dari segi angka tetapi juga sektor mana yang boleh dijadikan strategi,” tegurnya.
Malah, katanya berdasarkan pengalaman tindakan ad hoc lebih berjaya pada masa lalu dalam menangani ekonomi negara terutama ketika berdepan ancaman drastik ekonomi global.
“Kami bersedia dengan keadaan di luar jangkaan. Kami bersedia lebih awal. Kami tahu sekiranya ia berlaku, kita sudah bersedia. Kami pernah terperangkap dalam senario sedemikian pada masa lalu dan membuat persediaan ad hoc dan ia berhasil,” katanya.
Jadi, dalam sindiran yang lain, Rafidah barangkali bertanya: kalau sedekad ekonomi dunia tidak menentu, apakah kita akan hanya terus menyediakan alasan? – 14 Ogos, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen