IDEA menubuhkan sebuah badan khas sedang dibuat bagi menangani masalah pencemaran sungai yang pernah menjejaskan penduduk di Johor dan menyebabkan pemotongan air di Selangor.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Charles Santiago berkata badan itu akan dapat menyatukan semua aspek pengurusan sungai.
Ia termasuk kualiti pemantauan, pencegahan pencemaran dan menentukan perniagaan serta industri apa yang boleh dibuat berdekatan sungai.
Pada masa ini semua fungsi ini dijalankan oleh 17 agensi yang dibahagi-bahagikan antara kerajaan persekutuan dan negeri dengan pelbagai tanggungjawab.
Santiago berkata, sebuah agensi nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri akan dapat menyatukan semua fungsi ini di bawah satu bumbung dan memberi kuasa untuk bertindak.
“Masalah yang berlaku ketika ini ialah kita mempunyai terlalu banyak agensi dan jabatan berkaitan apabila berlaku pencemaran sungai atau bekalan air.
“Namun semua pihak akan menunding jari jika berlaku pencemaran. Tiada pihak yang mahu ambil tanggungjawab atau bertindak atas alasan kononnya bukan di bawah bidang kuasa mereka,” katanya kepada media selepas seminar pencemaran sungai di Petaling Jaya hari ini.
Idea berkenaan sedang dibincangkan pada seminar hari ini oleh pakar air, syarikat perkhidmatan, agensi kerajaan dan NGO.
Kualiti air dan pencemaran merupakan masalah yang telah berlaku 30 tahun lalu dan dibahas berulang-ulang kali tetapi jalan penyelesaian menyeluruh masih belum ditemui.
“Tetapi sekarang kita berada di peringkat krisis yang mana kita tak mahu jadi seperti Chennai (India) atau Capetown (Afrika Selatan),” katanya. – 14 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen