Polis Hungary rampas stok dadah terbesar


Festival Sziget adalah acara muzik paling popular di Hungary pada musim panas yang bermula pada 7 Ogos dan berakhir pada 13 Ogos. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2019.

POLIS Hungary merampas sejumlah besar stok dadah daripada dua lelaki rakyat Belanda di Budapest yang disyaki ingin dijual di festival muzik Sziget, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber semalam.

“Pada petang 6 Ogos 2019 hampir 2,700 pil ekstasi, 128 gram ganja dan 451 rokok ganja bersama-sama beg untuk mendispens dan mengagihkan dadah telah dirampas oleh Polis Budapest dari sebuah khemah di Festival Sziget dan tempat penyimpanan bagasi dua rakyat Belanda berusia 21 dan 22 tahun,” kata polis dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Xinhua.

Polis berkata kedua-dua suspek turut membuat senarai harga bagi dadah terbabit, yang dicetak dan diagih dalam beberapa risalah kepada pengunjung festival itu.

Festival Sziget adalah acara muzik paling popular di Hungary pada musim panas yang bermula pada 7 Ogos dan berakhir pada 13 Ogos.

Tahun lepas, festival itu memecah rekod dengan kehadiran sejumlah 565,000 orang dalam tempoh seminggu. – Bernama, 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen