Keluarga Nora mungkin mohon inkues diadakan jika cukup bukti


Ravin Palanisamy

Peguam Sankara Nair bercakap kepada media di Hospital Tuanku Jaafar, seremban berkata keluarga Nora Anne Quoirin mungkin mohon inkues diadakan berkenaan kematian remaja itu. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2019.

PEGUAM Sankara Nair berkata pihaknya akan menghubungi Peguam Negara Tommy Thomas dan memohon inkues diadakan berkenaan kematian Nora Anne Quoirin jika ada bukti yang merit dalam laporan pemeriksaan bedah siasat.

Bertindak bagi pihak keluarga remaja Ireland itu, Sankara berkata masih terlalu awal untuk menjangkakan apa-apa sehingga laporan bedah siasat siap.

Katanya, keluarga itu belum membuat keputusan tentang langkah seterusnya kerana masih trauma dengan insiden berkenaan.

“Ia situasi yang sangat trauma untuk mereka. Kehilangan anak, sangat malang.

“Jadi kami belum berbincang tentang perkara itu kerana mereka masih berfikir apa tindakan yang hendak diambil selepas ini. Mungkin akan berbincang petang nanti,” katanya di Hospital Tuanku Jaafar, hari ini.

Mayat Nora Anne ditemui di satu lurah berhampiran sungai di hutan di Seremban semalam selepas 10 hari operasi mencarinya.

Pada masa ini, pasukan patologi dari Hospital Kuala Lumpur sedang melakukan bedah siasat terhadap mayat remaja itu. – 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen