Lapangan terbang Hong Kong kembali beroperasi


Lebih 5,000 penunjuk perasaan melakukan protes di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa ditunda. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2019.

OPERASI di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kembali beroperasi awal pagi ini dengan penerbangan dijangka mula tiba dan berlepas selepas berlaku protes yang menyebabkan hab perjalanan utama terbabit terjejas teruk.

Beratus-ratus penerbangan dibatalkan semalam selepas penunjuk perasaan berhimpun di dua terminal.

Dua hari berturut-turut lapangan terbang itu disasarkan dalam peningkatan terbaru krisis politik selama 10 minggu.

Para penunjuk perasaan secara fizikal menghalang pelancong dari memasuki pesawat sepanjang petang sebelum bergelut dengan polis dalam rusuhan di luar terminal.

Dua orang telah dituduh sebagai mata-mata atau polis menyamar.

Tetapi pada awal hari ini, majoriti penunjuk perasaan telah meninggalkan lapangan terbang dan pesawat mula beroperasi seperti biasa.

Laman web lapangan terbang menunjukkan berpuluh-puluh penerbangan berlepas semalam dan beratus-ratus lagi dijadualkan berlepas hari ini walaupun banyak yang ditunda.

Seorang wartawan AFP berkata, penumpang mula didaftar masuk untuk penerbangan dan hanya segelintir penunjuk perasaan dilaporkan masih berada di lapangan terbang berkenaan.

Masih tidak jelas sama ada lapangan terbang itu akan disasarkan sekali lagi hari ini.

Pihak berkuasa semalam mengumumkan pembatalan semua penerbangan tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong berikutan protes yang disertai lebih 5,000 penunjuk perasaan.  – AFP, 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen