IBU bapa remaja Britain Nora Anne Quoirin mengesahkan mayat yang ditemui di sungai kecil 2km dari resort The Dusun Pantai Hill berhampiran Seremban di Negeri Sembilan petang tadi adalah anak mereka.
Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusof ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaa’far di Seremban berkata keluarga remaja berusia 15 tahun itu di bawa ke hospital selepas mayat ditemukan.
Bedah siasat akan dijalankan esok, katanya.
“Keluarga mengesahkan itu adalah Nora.
“Bedah siasat yang diketuai oleh pakar patalogi kanan dari Hospital Kuala Lumpur akan dijalankan esok,” kata Mohamad.
Selain itu, beliau juga berkata operasi mencari akan diteruskan sehingga proses bedah siasat selesai.
“Anggota saya berada di lokasi kejadian dan dalam keadaan bersiap-sedia,” katanya.
Keluarga Nora tiba di hospital pada kira-kira pukul 7 malam dan tidak bercakap dengan media.
Bapa Nora dilihat menenangkan ibunya, Meabh yang menangis ketika memasuki bilik mayat.
Mayat remaja itu ditemui oleh sekumpulan sukarelawan yang berdaftar dengan polis untuk menyertai pasukan mencari dan menyelamat.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata mayat yang ditemui tanpa pakaian itu menyerupai Nora.
Setakat ini tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian.
Nora didapati hilang dari biliknya pada awal Ahad minggu lepas. Mereka sekeluarga tiba di resort The Dusun sehari sebelum itu.
Bapanya, Sebastian kemudian membuat laporan polis pada jam 11 pagi selepas mendapati anaknya tiada di dalam bilik kira-kira pukul 7 pagi.
Lebih 300 pasukan penyelamat termasuk anggota pasukan komando VAT69 dan unit Senoi Praaq terlibat dalam operasi mencari.
Pasukan pencarian menggunakan anjing, helikopter dan dron sepanjang operasi selain merakam suara ibu Nora untuk memanggil remaja malang itu.
Polis juga dilaporkan turut melakukan usaha pencarian di sekurang-kurangnya 30 buah rumah dan vila berhampiran resort The Dusun.
Semalam, ibu bapa Nora mengumumkan ganjaran sebanyak £50,000 untuk sebarang maklumat mengenai anak perempuan mereka.
Wang itu didermakan oleh perniagaan berpangkalan di Belfast. – 13 Ogos, 2019.
Komen