Mayat itu menyerupai Nora, kata timbalan ketua polis negara


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor berkata, mayat tanpa seurat benang tersebut menyerupai Nora namun polis masih memerlukan pengesahan rasmi dari hospital. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2019.

POLIS percaya mayat wanita yang ditemui di sungai kecil 2km dari resort Dusun Pantai Hill berhampiran Seremban di Negeri Sembilan ialah Nora Anne Quoirin, remaja Britain yang dilaporkan hilang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor berkata, mayat tanpa seurat benang tersebut menyerupai Nora namun polis masih memerlukan pengesahan rasmi dari hospital.

“Masih awal untuk memasukkan unsur-unsur jenayah dalam kes itu tetapi kami akan lihat dari semua sudut,” kata Mazlan.

“Pada kira-kira 2 petang hari ini, kami dimaklumkan pasukan mencari dan menyelamat mengenai penemuan ini.

“Kami menemui mayat seorang wanita berkulit putih di sungai kecil yang terletak 2km dari resort tanpa pakaian,” katanya.

Mazlan berkata mayat itu diterbangkan ke Hospital Seremban untuk bedah siasat dan keluarga si mati telah dimaklumkan.

“Kerana kawasan di mana mayat itu dijumpai curam, kami terpaksa mengangkatnya menggunakan helikopter,” katanya.

Beliau berkata bahawa mayat itu ditemui oleh sekumpulan sukarelawan yang berdaftar dengan polis untuk menyertai pasukan mencari dan menyelamat.

Mazlan menambah bahawa pihak-pihak penyelamat telah menutup kawasan di mana mayat itu ditemui.

“Kami telah menutup kawasan itu sebelum ini, oleh itu kami berpindah dari radius 2km ke 4km, dan kemudian ke radius 6km.”

Nora yang berusia 15 tahun hilang pada 4 Ogos lalu dari vila di resort The Dusun.

Dia tiba bersama ibu bapa dan adik-beradiknya dari London untuk bercuti dua minggu lalu, sehari sebelum dia dilaporkan hilang.

Pasukan pencarian telah menggunakan anjing, helikopter dan dron untuk mencari remaja itu.

Polis juga dilaporkan turut melakukan usaha pencarian di sekurang-kurangnya 30 buah rumah dan vila berhampiran The Dusun untuk mencari remaja tersebut.

Semalam, ibu bapanya mengumumkan ganjaran sebanyak £50,000 untuk mereka yang boleh memberi maklumat bagi penemuan anak perempuan mereka.

Wang itu didermakan oleh perniagaan berpangkalan di Belfast.– 13 Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen