Dr Mahathir tidak luluskan pelaburan projek kereta nasional ke-3


Noel Achariam

"Saya tidak luluskan, tetapi ia telah dilakukan. Banyak agensi kerajaan apabila mereka melihat sesuatu yang baik, mereka fikir mereka patut sertai," kata Dr Mahathir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Ogos, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini, beliau tidak meluluskan agensi kerajaan melabur dalam projek kereta nasional ketiga selepas Putrajaya berulang kali menegaskan dana awam tidak akan disalurkan ke dalam projek itu.

“Saya tidak luluskan, tetapi ia telah dilakukan. Banyak agensi kerajaan apabila mereka melihat sesuatu yang baik, mereka fikir mereka patut sertai.

“DreamEDGE melakukan banyak perkara dan mereka seolah-olah mampu, berbanding agensi-agensi kerajaan yang mahu turut serta,” katanya selepas menghadiri Ulang Tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada hari Ahad, Presiden MCA, Wee Ka Siong mempersoalkan dakwaan Putrajaya bahawa projek kereta nasional yang baharu tidak akan melibatkan dana kerajaan.

Beliau berkata pemaju kereta, DreamEDGE Sdn Bhd, menerima dana kerajaan melalui Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

MIGHT, yang dimiliki kerajaan, mempunyai 100% pemilikan sebuah syarikat bernama Venturetech Sdn Bhd, yang merupakan pemegang saham terbesar DreamEDGE, kata Wee dalam hantaran Facebook selepas projek kereta nasional diumumkan. – 13 Ogos, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen