Seoul bakal sambut hari memperingati hamba seks


Pakar sejarah berkata sehingga 200,000 wanita, kebanyakannya rakyat Korea, telah dipaksa menjadi hamba seks di rumah-rumah pelacuran Jepun semasa Perang Dunia II – Gambar EPA, 13 Ogos, 2019.

KOREA Selatan akan menganjurkan satu majlis kebangsaan yang dihoskan kerajaan sempena sambutan Hari Memperingati Wanita Penghibur atau “Comfort Women” Antarabangsa pada Rabu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Kementerian Kesaksamaan Jantina dan Keluarga.

Kira-kira 300 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas wanita yang menjadi pernah hamba seks tentera Jepun, dijangka mengambil bahagian dalam majlis itu yang berlangsung di Muzium dan Perpustakaan Kim Koo di pusat bandar Seoul, menurut kementerian berkenaan dalam satu siaran berita pada Selasa.

Pakar sejarah berkata sehingga 200,000 wanita, kebanyakannya rakyat Korea, telah dipaksa menjadi hamba seks di rumah-rumah pelacuran Jepun semasa Perang Dunia II apabila Semenanjung Korea dijajah oleh Jepun. Kesemua hamba seks itu digelar sebagai wanita penghibur atau comfort women.

Kerajaan telah menetapkan bahawa Hari  Memperingati Wanita Penghibur Antarabangsa, yang jatuh pada 14 Ogos, sebagai hari peringatan kebangsaan pada tahun lepas.

Ia adalah hari yang menyaksikan mendiang Kim Hak-sun, seorang bekas wanita penghibur, pertama kali memberi keterangan secara umum berkaitan program rumah pelacuran tentera terancang yang dikendalikan Jepun semasa Perang Dunia II pada 1991.

Ia juga adalah hari sebelum Hari Pembebasan, yang menandakan tamatnya era penjajahan Jepun.

Bekas Perwakilan Amerika Syarikat Mike Honda, yang mengetuai usaha membawa resolusi berkaitan wanita penghibur di Dewan Perwakilan pada 2007, Acan Sylvia Obal dari Uganda, seorang penasihat bagi pergerakan wanita dan beberapa tokoh lain komuniti antarabangsa akan menyampaikan amanat menerusi video semasa majlis itu.

Acan telah dinobat sebagai penerima pertama anugerah Hadiah Kedamaian Kim Bok-dong, yang dinamakan sempena seorang aktivis hak asasi manusia dan hamba seks yang masih hidup semasa Perang Dunia II serta diberikan kepada wanita yang menyumbang ke arah meningkatkan kesedaran berkaitan keganasan seksual ketika perang. – Bernama, 13 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen