Menteri Luar Korea Selatan, China dan Jepun mungkin bertemu bulan ini


Ketegangan masih memuncak selepas Jepun mengenakan kawalan lebih ketat ke atas eksport tig bahan utama Korea Selatan dalam pembuatan semikonduktor dan menyingkirkan negara jirannya itu bulan ini daripada senarai rakan kongsi perdagangan pilihan. – Gambar AFP, 13 Ogos, 2019.

KOREA Selatan, China dan Jepun mungkin mengadakan satu mesyuarat tiga hala antara menteri-menteri luar mereka pada akhir bulan ini, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan seorang pegawai Seoul pada Selasa, meskipun berdepan ketegangan memuncak antara Seoul dan Tokyo berhubung pertikaian diplomatik serta perdagangan.

Jika mesyuarat itu berlangsung di China, berkemungkinan besar Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung-wha dan rakan sejawatnya dari Jepun, Taro Kono akan mengadakan rundingan dua hala, kata pegawai itu, meskipun tiada lagi keputusan mutakhir dicapai berkaitan penganjuran rundingan dua hala atau tiga hala.

Ketiga-tiga negara telah menganjurkan satu pertemuan antara menteri luar masing-masing bagi membincangkan persediaan bagi kemungkinan mengadakan sidang kemuncak tiga hala tahunan pemimpin mereka. Kali terakhir sidang kemuncak itu berlangsung ialah di Tokyo pada Mei tahun lepas.

Ditanya sama ada rundingan antara Kang dan Kono akan turut diadakan meskipun terdapat keperluan untuk satu tempoh bertenang antara Seoul dan Tokyo, pegawai itu berkata pertemuan tersebut, jika berlangsung, akan menjadi satu peluang yang baik bagi meredakan ketegangan dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Ketegangan masih memuncak selepas Jepun mengenakan kawalan lebih ketat ke atas eksport tig bahan utama Korea Selatan dalam pembuatan semikonduktor dan menyingkirkan negara jirannya itu bulan ini daripada senarai rakan kongsi perdagangan pilihan.

Pada Isnin, Seoul turut menggugurkan Tokyo daripada senarai rakan kongsi pilihannya.

Korea Selatan percaya langkah kawalan eksport Jepun adalah tindak pembalasan politik negara itu terhadap keputusan Mahkamah Agung tahun lepas yang mengarahkan firma-firma Jepun membayar pampasa kepada rakyat Korea Selatan yang menjadi mangsa buruh paksa semasa penjajahan Tokyo pada 1910-1945 di Semenanjung Korea.

Jepun menegaskan bahawa segala isu berkaitan pampasan yang timbul daripada penjajahannya, telah diselesaikan di bawah satu perjanjian negara-ke-negara pada 1965 yang menormalkan hubungan dua hala.

Bagaimanapun, mahkamah itu mengiktiraf hak individu mangsa dalam menuntut ganti rugi daripada pendudukan tidak sah Jepun di semenanjung tersebut. – Bernama, 13 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen