Mahkamah Persekutuan tolak rayuan tangguh bicara kes 1MDB Najib


Bede Hong

Najib Razak memohon supaya kes 1MDB ditangguhkan bicara, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Persekutuan menolak permohonan pasukan pembelaan Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd, yang kini dijadualkan bermula pada 28 Ogos.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa “tiada kesilapan dalam keputusan” mahkamah rendah untuk mengarahkan perbicaraan kes itu diteruskan tanpa penangguhan.

Turut menganggotai panel hakim ialah Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong, serta Hakim Mahkamah Persekutuan Rohana Yusuf dan Idrus Harun.

Dengan keputusan itu, ia juga menolak rayuan pembelaan untuk meminta perbicaraan SRC International yang sedang berlangsung sekarang ditamatkan dahulu.

Sebaliknya, pihak pendakwaan dijangka menamatkan hujah kes mereka pada Jumaat ini- hari terakhir perbicaraan untuk tahun ini bagi kes SRC International yang didengar Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib berdepan tujuh pertuduhan jenayah berkaitan kes SRC International dan 25 pertuduhan jenayah lagi berkaitan 1MDB melibatkan penyelewengan dana awam mencecah RM2.3 bilion.

Perbicaraan kes 1MDB dijangka bermula pada 28 Ogos, dua minggu daripada hari ini, apabila pihak pendakwaan menyerahkan dokumen bukti bertulis pra bicara 1MDB tengahari ini, kata Peguam Negara Tommy Thomas kepada mahkamah pagi tadi.

Mengikut undang-undang, pihak pembelaan diberikan tempoh dua minggu untuk bersedia bagi perbicaraan kes selepas mendapat dokumen tersebut.

Peguam Najib pagi tadi membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan berasingan difailkan pembelaan dan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB. Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak melakukan rayuan bersama-sama pembelaan pagi tadi.

Sebelum ini, kedua-dua pihak memohon untuk membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada 18 Julai lalu, yang menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan bicara 1MDB yang dijadualkan pada 19 Ogos sehingga 14 November.

Kes itu dijadualkan akan didengar Sequerah.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank peribadinya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Perbicaraan kes SRC Internationalnya akan disambung tengahari ini. – 13 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen