JUMLAH kematian akibat taufan Lekima meningkat 49 orang hari ini dan 21 masih hilang selepas ribut taufan yang ganas itu melanda pantai timur China, menyebabkan kerosakan teruk.
Lekiman melanda tiga wilayah China iaitu Zhejiang, Shandong dan Anhui pada hujung minggu lalu hingga menyebabkan jutaan penduduk melarikan diri mencari tempat berlindung.
Agensi berita rasmi China, Xinhua berkata setakat lewat malam semalam, sekurang-kurangnya 49 meninggal dunia dengan berpuluh-puluh lagi masih hilang.
Rakaman video stesen penyiaran CCTV menunjukkan padang dan jalan raya dinaiki air, kenderaan tenggelam, pokok terbang dan angin kuat serta hujan lebat di beberapa bandar di sepanjang kawasan pantai.
Lekima menyebabkan hujan lebat di Zhejiang pada Sabtu, yang membawa angin ribut dengan kelajuan 190 km sejam dan air pasang setinggi beberapa meter.
Xinhua berkata hujan yang direkodkan pada hujung minggu lalu di Shandong paling tinggi sejak 1952.
Bencana alam itu menyebabkan kerugian ekonomi sekurang-kurangnya AS$3.7 bilion, kata pihak berkuasa.
Pekerja penyelamat kelihatan menggunakan bot dan tali untuk menarik penduduk yang terkandas.
Ribuan penerbangan dibatalkan dan laluan kereta api tergendala akibat taufan itu, dengan Beijing dan Shanghai serta bandar utama lain menghentikan perkhidmatan pesawat.
Ratusan lokasi pelancongan di tepi pantai termasuk Disneyland Shanghai ditutup. – AFP, 13 Ogos, 2019.
Komen