MAJIKAN enggan mengambil kerja bekas banduan, mereka yang di bawah sistem parol dan bekas penagih dadah walaupun kerajaan memperkenalkan insentif cukai bagi menggalakkan langkah itu, kata Presiden Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan.
“Kebanyakan majikan bimbang kerana mereka takut ia ada kesan negatif kepada perniagaan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kerajaan baru-baru ini mewartakan potongan cukai pendapatan bagi majikan bagi pengambilan pekerja warga emas, bekas banduan, banduan dalam parol, orang yang dalam pemantauan dan bekas penagih dadah.
Bagi bekas penagih dadah, insentif itu boleh digunakan kepada mereka yang sudah menjalani pemulihan dan dipantau mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Warta itu menetapkan majikan perlu mengambil pekerja bagi jawatan sepenuh masa dengan gaji tidak mencecah RM4,000 bagi menikmati insentif cukai itu.
Majikan dan pekerja tidak boleh individu yang sama atau ada ikatan saudara.
Majikan juga perlu mendapatkan kelulusan dari Jabatan Penjara atau Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebelum mengambil bekas banduan atau bekas penagih sebagai pekerja.
Shamsuddin berkata walaupun insentif seumpama itu dialu-alukan, butiran lengkap mengenainya masih tidak jelas.
“Kami menerima insentif untuk menggalakkan pengambilan pekerja seumpama itu. Malangnya, kesedaran tentang perkara itu masih rendah.”
Beliau berkata Jabatan Penjara dan polis sepatutnya memberi penjelasan lanjut tentang perkara itu bagi meningkatkan pemahaman berhubung langkah berkenaan.
Shamsuddin berkata maklumat yang terhad berkenaan pekerja terbabit juga memberi kebimbangan kepada majikan. – 15 Ogos, 2019.
Komen