PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak akan bermula tengahari ini disebabkan pasukan pembelaan berada di Mahkamah Persekutuan, membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang menetapkan tarikh mula bicara kes 1Malaysia Development Bhd pada 19 Ogos.
Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu menolak kedua-dua permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB. Najib berdepan 25 pertuduhan jenayah dalam kes itu.
Kedua-dua pihak memohon untuk membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada 18 Julai lalu, apabila beliau menolak permohonan pendakwa untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB dan menetapkan kes dibicarakan pada 19 Ogos sehingga 14 November.
Pendakwaan dan pembelaan berkata mereka mahu menyelesaikan kes SRC International terlebih dahulu. Pendakwaan dijangka menamatkan kes mereka pada Jumaat, yang merupakan tarikh akhir bicara ditetapkan tahun ini untuk kes SRC International yang didengar Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Pagi tadi, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam Najib dan memutuskan perbicaraan kes 1MDB akan berlangsung pada 28 Ogos ini.
Selepas pendengaran di Putrajaya itu, saksi ke-57 dan terakhir pendakwaan, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Rosli Husain akan dipanggil semula memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Jumaat lalu, Rosli memberitahu mahkamah yang agensi anti rasuah itu hanya berjaya mendapatkan salinan minit mesyuarat Lembaga Pengarah SRC International pada 2013, yang hilang daripada buku setiausaha syarikat yang dirampas pada 6 Julai 2015.
Rosli juga mendedahkan beliau tidak berjaya mendapatkan minit mesyuarat asal apabila siasatan bermula pada pertengahan tahun 2015 kerana salah seorang bekas pengarah SRC International Terence Geh sudah meninggalkan negara ini. Geh dianggap orang penting yang boleh membantu siasatan.
Geh, 48, adalah bekas pengarah kewangan 1MDB dan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Rosli menambah yang beliau juga menyoal siasat bekas pegawai perhubungan AmBank Joanna Yu, dan Jabatan Forensik Digital Bank Negara Malaysia berjaya mendapatkan log perbualan BlackBerry Messenger daripada telefon Yu yang dirampas pada 5 Julai 2015.

Katanya lagi, Yu membantu siasatan dalam mengkategorikan perbualan dengan orang disyaki kepada dua kumpulan utama: Satu kumpulan melibatkan Yu dan bekas pengurus perhubungan Krystle Yap dan Daniel Lee, dan satu lagi melibatkan Low, bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas presiden dan CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Rosli juga mendedahkan lima orang saksi sudah meninggal dunia sejak siasatan SRC International bermula pada pertengahan 2015.
Mereka yang meninggal ialah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Noriah Ahmad, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Zainal Abidin Osman, Ketua Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Ahmad Norhisham dan Izzat Izaidi yang merupakan pemandu kepada setiausaha politik Najib, Muhammad Khairun Aseh.
Juga disenaraikan sebagai meninggal ialah Ketua Setiausaha Sulit Najib, Azlin Alias yang maut dalam nahas helikopter pada April 2015 yang turut membunuh Menteri Jamaluddin Jarjis.
Pertuduhan ke atas Najib berkaitan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International pada 2011 dan 2012 di mana beliau dituduh menerima RM42 juta yang dimasukkan ke akaunnya pada 2014 dan 2015.
Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Najib diwakili pasukan pembelaan yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
5.03pm: Prosiding hari ini ditangguhkan dan bersambung esok jam 9 pagi.
4.38pm: Rosli mengesah dan menanda dokumen yang dirampas di AmBank.
4.22pm: Rosli berkata AmBank beri dokumen asal kepada SPRM kerana telah disita Bank Negara Malaysia. Antara yang disita ialah penyata bank SRC International, penyata bank Najib, kiriman wang, nasihat pengesahan dan cek.
4.09pm: Prosiding bersambung. Rosli mengesahkan Notis Merah yang dikeluarkan terhadap individu lain yang terlibat dalam 1MDB.
3.46pm: Mahkamah berhenti rehat.
3.16pm: Rosli memberitahu mahkamah yang SPRM ada menghubungi St Kitts dan Nevis di Caribbean kerana Low mempunyai kewarganegaraan di sana, tetapi tidak mendapat balasan.
3.04pm: Low kali terakhir meninggalkan Malaysia pada 29 Mei 2015 dari Lapangan Terbang Subang. Manakala, Nik Faisal pula meninggakan negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Mei tahun lepas, kata Rosli.
Tambahnya, Notis Merah juga dikeluarkan terhadap Redzuan Adam Shah dan Toh Lian Seng.
2.52pm: Rosli berkata Notis Merah itu masih berkuatkuasa, tetapi Nik Faisal dan Low masih belum dapat ditangkap.
Pasport Malaysia kedua-dua mereka juga sudah dibatalkan tahun lepas, katanya lagi.
2.41pm: Rosli berkata beliau bekerjasama dengan Bukit Aman untuk mengeluarkan Notis Merah Interpol ke atas Low dan Nik Faisal. Notis itu dihantar ke negara yang berkemungkinan menjadi tempat persembunyian mereka, iaitu Hong Kong, China, Thailand dan Indonesia, serta Macau.
2.29pm: Rosli berkata tiada sesiapa tampil memberikan maklumat berdasarkan kenyataan media meminta lokasi Low.
Katanya, pada 17 Oktober 2015 di Jakarta dan hujung bulan itu, mereka berjaya mendapatkan Nik Faisal dan mendapatkan keterangannya. Tambahnya, mereka juga mendapatkan keterangan Low di Abu Dhabi pada November 2015. Kedua-dua mereka berjanji akan pulang ke Malaysia untuk memberi keterangan.
Ditanya mengapa beliau tidak meletakkan ikat jamin untuk kedua-dua mereka, Rosli berkata ia kerana Nik Faisal dan Low memberikan jaminan akan pulang.
Tambahnya, waran tangkap ke atas kedua-dua mereka dikeluarkan pada 22 Mei tahun lepas.

2.26pm: Rosli berkata pada 28 Mei 2015, pasukannya berkunjung ke rumah Low di Tanjung Bungah, Pulau Pinang tetapi tiada sesiapa di situ.
Katanya lagi, mereka juga pergi ke pejabat ayah Low di Pulau Pinang, tetapi sekali lagi gagal menemui sesiapa.
Apabila mereka memeriksa maklumat pasport Low, mereka mendapati yang ahli perniagaan itu sudah meninggalkan Malaysia beberapa hari sebelum itu.
Nik Faisal meninggalkan Malaysia pada 7 Mei tahun lepas, manakala Low pada 28 Mei 2015, hari sama pegawai SPRM ke rumahnya, kata Rosli, menambah yang kedua-dua mereka sehingga kini tidak kembali ke Malaysia.
2.20pm: Rosli berkata SPRM mengeluarkan kenyataan media meminta maklumat orang awam tentang Low Taek Jho- atau Jho Low- yang dikaitkan dengan skandal 1MDB pada 18 Jun tahun lepas.
Katanya, pegawai SPRM juga pergi ke rumah bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil di Shah Alam sebanyak dua kali, tetapi tidak menemuinya. Mereka juga pergi ke pejabat Nik Faisal di Shah Alam, tetapi hanya menemui seorang pekerja yang memberitahu Nik Faisal sudah meninggalkan negara dan tidak akan kembali.
Mereka juga mengunjungi rumah Nik Faisal di Jalan Maarof, Bangsar tetapi tiada sesiapa di sana, kata Rosli.
2.19pm: Perbicaraan disambung dengan Pegawai Penyiasat SPRK Rosli Husain dipanggil memberi keterangan. Beliau akan mengenal pasti pegawai SPRM lain yang membantu siasatan kes SRC International. – 13 Ogos, 2019.
Komen