Polis Rusia siasat video anggotanya pukul wanita


Polis menahan hampir 1,400 penunjuk perasaan pada 27 Julai lalu. Himpunan tunjuk perasaan menggegarkan Moscow sepanjang Julai, dengan terbesar pada Sabtu lalu dengan 60,000 peserta. – Gambar AFP, 13 Ogos, 2019.

KEMENTERIAN Dalam Negeri Rusia memulakan siasatan selepas satu video menunjukkan polis rusuhan menumbuk perut seorang wanita ketika protes mendesak pilihan raya bebas, menjadi tular.

Video itu yang ditonton 360,000 kali setakat ini menunjukkan seorang wanita muda ditarik oleh empat polis rusuhan yang memakai topeng, dengan salah seorang daripadanya menumbuk perut mangsa tanpa sebab jelas.

Video itu mencetuskan provokasi di media dan jaringan sosial.

Dalam satu temu bual dengan laman web Mediazona, wanita itu – Daria Sosnovskaya, 26, berkata beliau diheret oleh polis kerana membantah seorang lelaki kurang upaya ditahan.

“Polis mula berlari ke arah saya,” katanya.

“Saya sangat marah. Tiba-tiba saya kejang di banyak tempat di badan saya, saya tidak boleh bernafas.”

Dia kemudian dibawa bersama tahanan lain ke balai polis, di mana dia tidak dibenarkan menghubungi peguam selama beberapa jam sebelum dibebaskan dengan amaran.

Kementerian berkata inkuiri dalaman dibuka terhadap ke situ, berjanji mereka yang bersalah akan bertanggungjawab.

Keputusan menghalang calon pembangkang menyertai pilihan raya di Parlimen Moscow mencetuskan gelombang tunjuk perasaan, antara yang terbesar sejak Putin kembali ke Kremlin pada 2012.

Himpunan demi himpunan menggegarkan Moscow sepanjang bulan lalu, dengan terbesar pada Sabtu lalu dengan 60,000 peserta.

Polis mematahkan tunjuk perasaan itu dan menahan lebih ramai orang.

Pada protes 27 Julai lalu, hampir 1,400 penunjuk perasaan ditahan. – AFP, 13 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen