Suspek kes tembak di masjid Norway direman 4 minggu


Suspek kes tembakan di masjid di Norway, Philip Manshaus, 21, masuk ke mahkamah sambil tersenyum memandang kamera, berpakaian hitam dengan rambut pendek. – Gambar EPA, 13 Ogos, 2019.

SEORANG lelaki Norway yang disyaki membunuh adik tirinya dan melepaskan tembakan rambang di sebuah masjid di Oslo hujung minggu lalu kini ditahan reman kerana disyaki membunuh dan melakukan tindakan keganasan, kata polis.

Lelaki terbabit dikenali sebagai Philip Manshaus, 21, dibawa ke mahkamah Oslo dengan kesan lebam di muka, leher dan tangannya, mungkin kerana dibelasah ketika melalukan tembakan rambang di masjid berkenaan.

Polis berkata suspek “berpandangan kanan yang ekstrem” dan xenofobia dan turut merakamkan serangan di masjid menggunakan kamera GoPro yang dipasang di topi keledar.

Insiden di Norway itu berlaku ketika meningkatnya serangan ketuanan kulit putih di seluruh dunia.

Manshaus pada mulanya disyaki membunuh adik tirinya berusia 17 tahun, dan dia menafikan melakukan tindakan keganasan di masjid Al Noor pada Sabtu lalu.

Di Norway, apabila dinamakan secara rasmi sebagai suspek, ia langkah pertama sebelum didakwa.

Manshaus masuk ke mahkamah sambil tersenyum memandang kamera, berpakaian hitam dengan rambut pendek.

Dia minta dibebaskan, sementara peguamnya Unni Fries berkata selepas prosiding mahkamah.

“Anak guam saya menolak semua tuduhan dan menggunakan haknya untuk memberi penjelasan,” kata peguam.

Mahkamah memetik “alasan munasabah” kepada Manshaus yang dituduh melakukan tindakan keganasan dan membenarkan dia ditahan reman empat minggu, seperti dimohon polis.

Polis berkata Manshaus memakai topi keledar dipasang kamera ketika serangan itu yang merakamkan kejadian dan memudahkan polis memperoleh bukti penting.

Mahkamah berkata tertuduh akan ditahan secara bersendirian bagi tempoh dua minggu pertama.

Manshaus dituduh masuk ke sebuah masjid di Baerum, Oslo membawa sekurang-kurangnya dua senjata dan melepaskan tembakan sebelum dihentikan oleh seorang lelaki berusia 65 tahun yang turut mengalami kecederaan ringan. Hanya tiga jemaah berada di dalam masjid ketika itu.

Beberapa jam selepas serangan itu, mayat seorang gadis ditemui di sebuah rumah di Baerum dan polis pada Isnin mengenal pasti sebagai Johanne Zhangjia Ihle-Hansen, adik tiri Manshaus.

Media tempatan melaporkan mangsa berketurunan Cina dan diambil sebagai anak angkat oleh isteri bapa Manshaus. – AFP, 13 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen