SEBUAH kumpulan hak asasi manusia sedang cuba memperluaskan undang-undang bagi melindungi pengguna online daripada gangguan siber dan menyiapkan inisiatif maklum balas umum hari ini dengan menyediakan dokumen rundingan.
Ia berharap dokumen rundingan itu akan dapat menjadi asas kepada penggubalan undang-undang lebih kuat dalam menangani masalah berkenaan.
Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) akan mengumpulkan pandangan berkenaan isu di bawah inisiatif PeopleACT dan menyerahkannya kepada pengawal selia Internet, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), beberapa kementerian dan organisasi bukan kerajaan lain.
Lim Ka Ea yang mengetuai MCCHR berkata maklumat menerusi teknologi komunikasi semakin kerap dijadikan alat untuk menimbulkan kemudaratan, disalahgunakan dan dijadikan ancaman kepada orang lain, selain menceroboh privasi pengguna.
Ugutan rogol, bunuh dan data peribadi didedahkan, maklumat dan gambar menyebabkan tekanan emosi dan kerosakan terhadap mangsa mereka yang kadangkala boleh membawa kepada trauma fizikal, katanya.
“Dalam kebanyakan kes seperti ini, penjenayah gangguan siber jarang bertanggungjawab terhadap sikap mereka dan kemungkinan tampil tanpa nama di ruang siber menambahkan lagi masalah itu,” kata Lim.
Paling khusus terjejas ialah wanita, remaja dan kanak-kana perempuan, dengan angka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan 73% daripada mereka terdedah atau pernah mengalami keganasan online.
Di Malaysia, ugutan siber dan pencerobohan privasi digunakan terhadap pengguna yang melahirkan pandangan berunsur sensitif atau mereka yang dicerca jika melakukan kesalahan.
Dalam satu kes pada 2014, video seorang wanita muda sedang memukul kereta seorang warga emas selepas kemalangan dimuat naik ke media sosial dengan identitinya, nombor plat kenderaan dan maklumat peribadi lain terdedah.
Pada 2015, seorang penyampai radio yang mempersoalkan hukum hudud di Kelantan menerusi video YouTube menerima ugutan dan gambarnya dikongsi secara meluas di media sosial bersama dengan komen yang dahsyat.

Aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi yang menganjurkan satu program berkaitan anjing pada 2014 juga menerima ugutan bunuh dan mesej jahat di online, kata Lim.
Selain SKMM, pihak berkepentingan lain yang akan diserahkan dokumen itu ialah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; polis, Majlis Peguam dan ahli akademik.
Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insight, Lim bercakap mengenai kempen untuk undang-undang baharu terhadap gangguan siber.
TMI: Apa yang terkandung dalam cadangan berkaitan isu itu?
Lim: Ia menyemak perundangan Malaysia yang relevan dengan gangguan siber dan tingkah laku siber lain yang menjejaskan, khususnya ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan tindakan sivil seperti privasi dan gangguan.
Ia juga melihat kepada undang-undang dalam bidang kuasa lain seperti di United Kingdom (UK), Australia, Hong Kong, Ireland dan Kesatuan Eropah (EU), untuk melihat bagaimana undang-undang di sana menangani gangguan siber.
TMI: Bagaimana inisiatif itu bermula?
Lim: Ia dicadangkan oleh sekumpulan NGO. Kami mahu ia menjadi proses penyertaan demokrasi. Kami lakukan pendidikan sivik.
Sebelum ini, kami menyediakan kemahiran dan pengetahuan kepada belia untuk menjalankan kempen yang mereka mahu. Tahun ini kami fikir hendak mengangkatnya ke peringkat lebih tinggi bila melihat ramai rakyat Malaysia tidak suka dengan isu tertentu. Apa yang mereka buat ialah bawa ia ke demonstrasi jalanan. Tetapi kemudian tidak apa pun yang berlaku. Tidak ada susulan.
Jadi kami fikir, mari cuba dan kumpulan semua pembela hak asasi manusia daripada pelbagai NGO berbeza dan kemukakan satu isu yang kami rasa ia sangat menjejaskan semua orang dan bagaimana kami boleh bekerjasama dengan pihak berkepentingan berlainan untuk melihat kesan jangka panjang, bukannya sekadar membuat protes.
TMI: Siapa yang menjadi mangsa?
Lim: Sesiapa saja di online terdedah kepada gangguan. Saya rasa tidak ada kajian konklusif menunjukkan siapa yang lebih cenderung menjadi mangsa. Dalam kaji selidik kami, hanya 17 orang ditemu bual secara berdepan.
Tetapi kami juga mengumpul insiden gangguan siber dari media, iaitu antara 17 hingga 18 orang. Jadi keseluruhan ada lebih 40 orang yang dikenal pasti, selain sumber dari media dan 40 individu itu, saya boleh katakan majoritinya wanita.
Saya tidak mahu kata ia konklusif kerana hanya lebih 40 orang saja dalam kajian kami dan ia tidak mewakili keseluruhan Malaysia. Tetapi daripada jumlah 40 orang itu, 90% wanita.
Daripada 90% itu, kebanyakannya wanita berumur antara 20-an dan 30-an diganggu. Daripada 40 orang itu, mereka diganggu atas pelbagai alasan dan antaranya kerana mereka meluahkan pandangan politik masing-masing.
Mereka juga meluahkan pandangan terhadap isu agama. Jadi mereka juga diganggu. Ada juga selebriti di luar sana yang memakai pakaian yang membuatkan sekumpulan individu rasa tidak selesa. Jadi mereka juga kerap diganggu kerana itu. Ada juga mangsa yang diganggu kerana meluahkan orientasi seksual yang berbeza.
Atau kes di mana selebriti yang berkahwin dengan orang lain. Jadi selebriti wanita itu teruk diganggu di online dan digelar perampas suami orang. Dua atau tiga kes. Kemudian ada juga kes yang mengutuk mengenai bentuk tubuh badan orang lain.
TMI: Undang-undang mana yang mungkin perlu diubah?
Lim: Kajian itu mengenal pasti semua undang-undang sedia ada berpotensi untuk menangani gangguan siber, tetapi ia juga perlu menutup jurang yang ada. Undang-undang sedia ada sekarang tidak menangani pornografi balas dendam, misalnya.
Pada masa ini, Akta Komunikasi dan Multimedia berkata sebarang komen yang berniat jahat, atau mengganggu atau menghina, berpotensi menjadi satu kesalahan.
Ia sangat tidak jelas dan terpulang kepada tafsiran hakim. Bila anda tidak mendefinisikan ia, akan ada banyak masalah berbangkit.
TMI: Model apa yang anda ikuti?
Lim: Sesetengah negara mendefinisikan gangguan siber, seperti UK dan EU dan Australia. Undang-undang Ireland menyatakan jika anda memprovokasi seseorang untuk bunuh diri, anda akan dihukum.
TMI: Apa yang kebanyakan orang rasa tentang undang-undang baharu itu yang mungkin digunakan untuk membanteras perbezaan pendapat?
Lim: Ia satu proses perundingan. Akhirnya kami akan nilai semula sentimen umum. Setakat ini, majoriti berpendapat undang-undang baharu diperlukan. Sentimen umum ialah ya.
Undang-undang perlu khusus untuk tangani lima jenis gangguan: komen kebencian, gangguan seksual, kelucahan, ugutan bunuh dan rogol serta pencerobohan privasi.
Wakil rakyat sedar masih banyak lagi boleh dibuat untuk tangani perkara ini. Kami ada berjumpa dengan Majlis Peguam dan mengharapkan maklum balas mereka.
TMI: Apakah cabaran terbesar dalam mengumpul maklum balas terhadap undang-undang baharu itu?
Lim: Saya rasa undang-undang gangguan online sukar mendapat sambutan kerana orang melihat ruang online itu sebagai tidak nyata. Apa yang berlaku secara online tidak akan mencederakan anda secara fizikal kerana tiada interaksi fizikal dengan pelaku. Dan orang melihatnya sebagai isu wanita, kerana gangguan seksual kebanyakannya menjejaskan wanita. – 7 Oktober, 2017.
Komen