BEDAH siasat mengesahkan dua mayat ditemui di kawasan hutan di Kanada adalah dua remaja suspek kes bunuh, yang dipercayai membunuh diri selepas beberapa minggu melarikan diri, kata polis.
“Kedua-duanya mati dan didapati kerana bunuh diri menggunakan pistol,” kata polis dalam satu kenyataan.
Kam McLeod, 19, dan Bryer Schmegelsky, 18, dikehendaki polis berhubung pembunuhan seorang lelaki Australia dan teman wanitanya warga Amerika Syarikat, serta seorang profesor universiti warga Kanada.
Polis melancarkan pemburuan besar-besaran di seluruh negara terhadap dua remaja itu.
Pada awalnya mereka dilaporkan hilang selepas kereta mereka ditemui terbakar di British Columbia tetapi polis kemudian menemui mayat ketiga, dan remaja terbabit menjadi suspek.
Minggu lalu, polis hampir menangkap mereka apabila menemui beberapa barangan dipercayai ada kaitan dengan suspek di Sungai Nelson. Polis turut menemui bot aluminium yang rosak.
Mayat kedua-duanya kemudian ditemui dalam semak di Manitoba kira-kira 8km dari kereta milik sala seorang mangsa ditemui terbakar pada 22 Julai.
Tidak dapat dipastikan bila sebenarnya kedua-dua suspek itu meninggal dunia.
Bagaimanapun, polis berkata mereka percaya kedua-dua suspek masih hidup beberapa hari sejak kali terakhir dilihat berhampiran Gillam, Manitoba – yang mencetuskan pencarian besar-besaran di kawasan itu.
Polis Kanada berkata analisis forensik dilakukan terhadap dua senjata api yang ditemui bersama remaja itu bagi memastikan ia digunakan dalam kes pembunuhan di British Columbia.
Penyiasat dan unit analisis tingkah laku juga meneruskan siasatan apa yang berlaku
McLeod dan Schmegelsky, yang juga rakan sejak kecil dikejar polis sejauh lebih 3,000km, hampir separuh negara itu hingga ke wilayah Manitoba.
Mereka dikehendaki kerana disyaki membunuh Lucas Fowler, 23, dan Chynna Deese, 24, di mana mayat mereka ditemui di lebuh raya British Columbia pada 15 Julai dengan kesan tembakan.
Pihak berkuasa menemui mayat Leonard Dyck, 64, seorang profesor botani di University of British Columbia pada 19 Julai. – AFP, 13 Ogos, 2019.
Komen